PEREBUTAN Sarung Tangan Emas dalam kalangan penjaga gol di Piala Dunia FIFA 2022, di Qatar sama hebatnya dengan perebutan Kasut Emas, dalam kalangan penjaring.
Penjaga gol terbaik yang paling banyak menghalang cubaan jaringan, kini masih terbuka luas terutamanya prestasi penjaga gol yang menakjubkan pada penentuan sepakan penalti.
Selepas Croatia menewaskan Brazil dengan penentuan penalti, Argentina turut mara ke separuh akhir menerusi penentuan penalti ketika menyingkir Belanda, manakala Maghribi dan Perancis pula mengatasi lawan masing-masing, Portugal dan England dalam tempoh sebenar masa perlawanan.
Keempat-empat pasukan yang mara ke separuh akhir setakat ini, membuktikan kemampuan penjaga gol mereka memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan.
Pada edisi lalu, 2018, anugera Sarung Tangan Emas dimenangi penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Jom soroti prestasi penjaga gol dari empat pasukan terakhir Piala Dunia 2022.
DOMINIK LIVAKOVIC (Croatia)
Sesetengah pemain terlahir dari detik-detik besar dan ada sesetengahnya pula, mengalami prestasi yang merudum dalam kejohanan besar.
Bagi Dominik Livakovic, detik itu tidak lain tidak bukan, hadir pada aksi penentuan penalti yang menyaksikan dia menyelamatkan sepakan penalti.
Penjaga gol Dinamo Zagreb itu hanya bolos dua kali menjelang pertemuan dengan Jepun. Namun Daizen Maeda meletakkan Jepun di depan sebelum Ivan Perisic meledakkan gol penyamaan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.
Bermulalah detik wira Livakovic apabila tiga daripada empat sepakan diambil pemain Jepun, sekali penjaga gol berusia 27 tahun itu membawa Croatia kepada pertemuan dengan Brazil di suku akhir.
Brazil yang hampir meraikan kemenangan menerusi jaringan Neymar bagaimanapun terpaksa aku dengan jaringan penybamaan Bruno Petkovic pada minit ke-105, sekali lagi pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti, yang sekali lagi Livakovic mempamerkan ketangkasan mengawal gawang.
Berdasarkan statistik, Livakovic beraksi dalam lima perlawanan, bermain dalam tempoh 510 minit dan tiga ‘clean sheet’, tiga kali bolos, berdepan 22 cubaan tepat ke sasaran dan menyelamatkan 19 daripadanya.
EMI MARTINEZ (Argentina)
Dalam pasukan Argentina, mereka terlalu mahu melihat kapten, Lionel Messi menjulang trofi Piala Dunia. Pemain yang paling mahu perkara itu menjadi kenyataan adalah penjaga gol Emi Martinez, yang sedia melakukan segala-galanya bagi memastikan kaptennya menikmati kemasyhuran.
Begitupun mereka bermula dengan rentak sumbang apabila tewas perlawanan pertama, 2-1 di tangan Arab Saudi.
Namun mereka bangkit dengan dua kemenangan dan dua lagi ‘clean sheet’ sebelum menewaskan Belanda 2-1.
Penjaga gol Aston Villa itu menyelamatkan dua daripada lima sepakan penalti Belanda untuk menempah tempat ke separuh akhir.
Berdasarkan statistik, Martinez beraksi semua lima perlawanan dan bermain selama 420 minit, dua daripada lima perlawanan itu, ‘clean sheet’ dan bolos lima kali.
Namun Martinez hanya berdepan lapan cubaan tepat ke arah gawangnya dan menyelamatkan tiga daripadanya.
HUGO LLORIS (Perancis)
Walau apapun berlaku di Qatar, nama Hugo Lloris sudahpun tercatat dalam sejarah Perancis.
Pemain berusia 35 tahun itu mengatasi Lilian Thuram pada hari Sabtu lalu (10 Disember) apabila dia membuat penampilan ke-143 untuk negaranya – yang paling banyak dalam sejarahnegara itu, dan tiada cara yang lebih baik untuk meraikan peristiwa penting seperti itu berbanding menyingkir England untuk ke separuh akhir.
Daripada 16 bedilan Three Lions ke arah gol dalam pertembungan kalah mati itu, lapan daripadanya tepat sasaran dan hanya satu yang melepasi hadangan Lloris.
Lloris beraksi dalam empat perlawanan dan bermain selama 360 minit tanpa ‘clean sheet’. Gawang dikawalnya bolos empat kali dan dia menyelamatkan lapan d aripada 12 cubaan tepat ke arah gawang.
YASSINE BOUNOU (Maghribi)
Kekentalan Yassine Bounou di benteng terakhir Maghribi setakat ini, sememangnya tidak dapat dipersoal lagi, apabila membantu pasukannya mara ke separuh akhir yang dikuasai pasukan dari Eropah.
Penjaga gol berusia 31 tahun itu beberapa kali berpindah dan kini bersama Sevilla sebagai pinjaman, namun kedudukannya dalam skuad Maghribi, tidak dapat diragui.
Pilihan jurulatih Walid Regragui tidak salah sama sekali apabila Bounou membuktikan dia memiliki tangan paling selamat dan mendahului penjaga gol lain dari segi jumlah bolos.
Antara kemenangan epik Maghribi pastinya ketika menyingkir Sepanyol pada pusingan 16 terakhir.
Kemudian berdepan Portugal, ternyata Maghribi boleh mencari gol dalam masa sama mengharapkan Bounou mempertahankan jaringan tanpa dibolosi.
Hanya bolos satu gol dan jaringan itu adalah jaringan sendiri daripada Nayef Aguerd dalam perlawanan menentang Kanada.
Sepanjang kejohanan ini, Bounou beraksi empat perlawanan dan bermain dalam tempoh 390 minit, dan berjaya mendapatkan tiga ‘clean sheet’.
Dia berjaya menyelamatkan enam daripada tujuh cubaan tepat ke sasaran dan hanya bolos satu gol.