KETIKA tuan rumah, Kemboja mula memimpin carta pungutan pingat Sukan SEA 2023, kontinjen negara masih ternanti-nanti, gerangan siapakah penyumbang emas pertama negara.
Esok bakal menjadi penentunya apabila beberapa atlet yang disasarkan untuk memungut pingat emas dalam acara tempur, mula beraksi.
Persoalannya, siapa yang bakal menyumbang pingat emas pertama, adakah atlet jujitsu atau karate?
Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali sebelum ini memberitahu, pingat emas pertama negara dijangka hadir menerusi sukan jujitsu yang mempertaruhkan pemenang pingat perak Sukan SEA Hanoi 2021, Adam Akasyah dalam kategori Ne-Waza Gi bawah 69 kilogram.
Atlet berusia 23 tahun itu, menyifatkan penyiapan kali ini paling lengkap dan positif pingat emas pertama dalam kariernya menjadi kenyataan pada Sabtu.
Begitupun, penuntut Sains Sukan Universiti Malaya itu berkata, dia sedar cabaran digalas tidak mudah dengan kehadiran juara bertahan, Noah Lim daripada Singapura.
“Saya yakin dengan persiapan yang sudah dilakukan dan saya mahu menjadi penyumbang emas pertama.
“Sebelum ini dua kali saya bertemu Noah namun tewas kedua-dua pertemuan itu, tapi saya ada senjata untuk mengatasinya kali ini.
“Semangat saya ketika terpaksa akur meraih pingat perak di Hanoi gara-gara patah buku lali pada final, masih sama dan saya nak pastikan emas milik saya kali ini,” katanya.
Di Hanoi, Adam meraih pingat perak selepas tewas kepada Noah di final, gara-gara patah buku lali.
Mengimbas peristiwa itu, Adam memberitahu dia hanya mengambil ubat tahan sakit dan enggan dihantar ke hospital selagi tidak menaiki podium untuk menerima pingat.
Sementara, sukan karate yang akan beraksi pada jangka waktu yang sama, turut disebut-sebut bakal menjadi penyumbang pertama pingat emas kali ini, menerusi C Shahmalarani yang beraksi dalam kategori Kumite bawah 50 kilogram (kg) wanita dan seorang lagi prospek emas acara Kumite bawah 55 kilogram lelaki, S Prem Kumar.
Semua acara tempur ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Chnangvar, Phnom Penh.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Karate dari Mesir, Tamer Abdulraouf Mohamed Mourssy berkata, pingat adalah satu kepastian tanpa mahu meletakkan sebarang warna.