PEMINAT sukan bola sepak tanah air berpeluang menyaksikan siaran langsung Piala Eropah 2024 secara percuma menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ia susulan terdapat sebuah pihak  syarikat swasta gergasi yang berminat dan menghantar surat tunjuk minat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Komunikasi dan pihak RTM dalam masa terdekat.

Menurut sumber kepada FLASH SUKAN, pihak pengurusan syarikat itu dalam proses untuk menghantar dokumentasi untuk membeli tajaan sepenuhnya bagi kejohanan itu.

“Pihak tertinggi syarikat kami akan menghantar segala dokumentasi diperlukan dalam masa dua dan tiga hari ini. Kami tahu masa semakin suntuk memandangkan tarikh kejohanan akan bermula kurang 30 hari lagi.

“Kami cukup berminat dan bersedia untuk menaja hampir sepenuhnya siaran langsung Euro 2024 itu bagi memastikan rakyat Malaysia menontonnya secara percuma dan kita tahu beli siaran ini yang sudah tentunya bukan murah,” katanya.

Jelas sumber itu lagi, syarikat itu akan menjadi penaja utama untuk siaran langsung serta ada lagi pembabitan syarikat swasta lain dalam penajaan skala kecil.

“Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia yang dalam kelompok B-40 boleh menikmati siaran percuma Euro di RTM sekali gus menyemarakkan bahang Euro kali ini,” kata sumber itu.

Bahang saingan Piala Eropah 2024 atau Euro 2024 semakin terasa dengan Jerman bakal menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak paling dinantikan itu yang dijadual berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai depan.

ARTIKEL BERKAITAN : ‘Live’ Euro 2024 : Fahmi Fadzil mahu RTM teliti bajet dahulu

Euro 2024 berlangsung di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai 2024. |Foto Agency

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro namun beliau perlu merujuk terlebih dulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung perkara itu.

Terdahulu, FLASH SUKAN membangkitkan isu hak penyiaran Euro 2024 selepas rata-rata peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa keterujaan dan minat untuk menonton aksi Piala Eropah itu.

Namun kebanyakkan penyokong meluahkan di media sosial mahukan pihak kerajaan menyiarkannya secara percuma kerana tidak mampu melanggan siaran perlawanan yang disiarkan oleh sebuah televisyen swasta berbayar tempatan.