SIASATAN yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dilihat bakal menggugat Kongres Pemilihan persatuan itu yang dijadualkan berlangsung pada 7 September 2024.
Ini selepas SPRM memerlukan tempoh siasatan selama 14 hari bermula dari 26 Ogos dan jika badan berkanun itu mendapati terdapat salah laku dalam KLFA, Kongres Pemilihan itu perlu ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.
Perkara ini diumumkan oleh Pemangku Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang turut memaklumkan bahawa tarikh pemilihan pada 7 September itu akan kekal sekiranya SPRM mengesahkan tidak ada sebarang salah laku.
Atas sebab ini, nama-nama calon pemilihan tidak dapat diumumkan walaupun tempoh pencalonan sudah tamat pada 23 Ogos lalu namun mereka yang bertanding masih boleh meneruskan kempen kepada kelab-kelab yang bernaung di bawah KLFA.
“Ada laporan telah dibuat kepada SPRM dan dalam masa 14 hari mereka akan melengkapkan siasatan dan jika terdapat kebarangkalian salah laku, kongres akan ditunda tetapi jika tidak ada salah laku, 7 September akan kekal sebagai tarikh pemilihan sebagaimana yang ditetapkan oleh barisan exco,” katanya.
Abdullah Sani turut menjelaskan bahawa kesemua kelab yang digantung keahlian oleh KLFA dibenarkan untuk menyertai pemilihan dengan 28 kelab akan turut serta dalam pemilihan kali ini.
Meskipun belum mengetahui mengenai pencalonan bagi jawatan dipertandingkan namun Abdullah membayangkan kongres pemilihan akan berlangsung dengan rancak menerusi pembabitan ramai pihak.
“Saya ramalkan ada pertandingan sebab minat yang menggunung dan kerana ramai orang berminat dengan KLFA,” katanya.
Terdahulu dua nama besar politik Malaysia, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden KLFA.