JAGUH sukan bowling negara Natasha Mohamad Roslan, tidak menjadikan status juara dunia yang diraih tahun lalu, sebagai alasan untuk meninggalkan hobi membuat kuih raya yang menjadi sumber rezeki di bulan Ramadan, ketika pandemik Covid-19 dahulu.
Di sebalik kesibukannya sebagai seorang atlet boling kebangsaan, Natasha yang memulakan bisnes kecil-kecilannya pada 2021, masih mengambil tempahan biskut Chocolate Chips hingga terpaksa menyusun jadual membuat biskut raya, supaya tidak mengganggu waktu latihan.
“Saya mula buat biskut ini pada 2021, masa Covid-19 dan selepas itu saya berhenti sekejap. Kali ini mula semula buat dan penat juga sebenarnya. Saya masih melakukan latihan di gimnasium.
“Kebiasaannya jadual latihan adalah di sebelah pagi, jadi saya akan buat biskut selepas waktu berbuka sehinggalah pada pukul 1 pagi dan selepas itu berehat,” kata Natasha, mengakui pernah menerima tempahan hingga 800 botol pada 2021, ketika Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Masa Covid-19 itu, saya memang secara sepenuh masa di rumah, jadi ada jual hampir 800 botol yang kesemuanya saya buat adalah biskut chocolate chips.”
Atlet berusia 28 tahun itu berkata, dia dan pasukan akan ke Singapura untuk kejohanan pertama mereka iaitu di Kejohanan Antarabangsa Klasik Sonic dari 18 hingga 21 April ini.
Natasha yang meraih gelaran dunia selepas menewaskan rakan senegara Sin Li Jane dalam acara individu di Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada Oktober tahun lalu turut berkata, fokus utama pada musim ini adalah di Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand, September ini.
“Selepas raya, saya dan pasukan akan ke Singapura untuk kejohanan pertama kami dan selepas itu ada beberapa kejohanan terbuka. Pada tahun ini, fokus kami adalah tertumpu kepada Kejohanan Asia,” katanya, yang turut menganggap gelaran itu sebagai motivasi untuknya berusaha lebih gigih di masa akan datang.
“Saya rasa sebelum jadi juara dunia pun, tekanan itu sudah ada. Apabila merangkul gelaran, ia bertambah (tekanan) tetapi saya mengambilnya sebagai satu cabaran untuk buat lebih baik dan buktikan yang saya boleh kekalkan gelaran juara dunia serta sentiasa mengekalkan momentum saya.”
Sebagai rekod, gelaran dunia diraih Natasha pada tahun lalu itu menamatkan kemarau pingat emas 12 tahun Malaysia dalam acara individu dengan kali terakhir dilakukan Jacqueline Sijore pada tahun 2011 di Hong Kong.