LITAR Antarabangsa Petronas Sepang tidak melihat pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan litar-litar lain di Malaysia sebagai pencabar buat mereka malah mengalu-alukan lebih banyak litar di seluruh Malaysia.

Litar Pasir Gudang kini mendapat tumpuan daripada peminat sukan permotoran apabila perkhabaran mengenai pembangunan semula litar itu kian hangat selepas Tunku Temenggong Johor (TTJ) berkenan untuk menjadikan litar itu sebagai hab bagi pasukan JMR Racing Team dan JDT Racing Team.

Satu lagi litar baharu yang siap dibangunkan adalah Litar Beranang yang menyaksikan ianya boleh digunakan oleh orang ramai dan dijadikan sebagai hab pembangunan pelumba-pelumba muda.

View this post on Instagram

A post shared by TTJ (@tunku_idris)

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif berkata senario ini sangat baik untuk menunjukkan perkembangan sukan permotoran dua roda dan menganggap ianya tidak akan mendatangkan masalah buat Sepang.

“Perkembangan ini cukup baik kerana apabila lebih banyak litar dibina, lebih banyak peluang untuk bakat-bakat baharu mengembangkan sayap mereka dan merasai peluang beraksi di litar yang lebih selamat berbanding jalan raya.

“Kami di SIC sentiasa akan memastikan fasiliti kami dalam keadaan terbaik yang sesuai untuk perlumbaan di peringkat antarabangsa yang memerlukan litar Gred A seperti MotoGP,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Petronas Sepang, Azhan Shafriman Hanif

Litar Pasir Gudang pernah menganjurkan kejuaraan Motosikal Dunia pada 1998 selepas penutupan Litar Shah Alam dan Litar Antarabangsa Petronas Sepang mengambil alih tugasan ini bermula pada 1999 dan kini bersedia menganjurkan kejuaraan ke-25 secara gilang gemilang.