SAINGAN Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix Petronas Malaysia 2023 dijangka lebih meriah tahun ini berikutan pihak penganjur iaitu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menawar harga tiket ‘Rahmah’.
Apa yang lebih menarik tiket ‘Rahmah’ itu sudahpun mula dibuka jualan bermula hari ini dengan harga RM49.90 di kawasan tempat duduk K2 Hillstand.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif tawaran ini adalah yang terbaik ditawarkan kepada seluruh peminat sukan pemotoran Malaysia.
“Buat pengetahuan, tiket rahmah yang berkapasiti sebanyak 7,000 ini khusus untuk rakyat Malaysia sahaja tidak mengira golongan pendapatan atau sebagainya.
“Bukan sahaja tiket rahmah, kita juga adakan jualan rahmah pada hari berkenaan khas untuk peminat-peminat sukan permotoran,” ujarnya selepas Sidang Media Pelancaran Grand Prix Petronas pada Rabu.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategi Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Shafriman turut berkongsi bahawa sudah 70 peratus tiket telah pun dijual pada masa kini dan berharap supaya ada peningkatan terhadap kehadiran penonton yang akan membanjiri SIC.
Jelasnya, SIC juga mensasarkan seramai 170,000 penonton yang bakal hadir berbeza pada tahun lalu yang mencatatkan kehadiran seramai 164,000 jumlah penonton.
Sementara itu, Shafriman turut mengulas tentang tiket ‘wild card’ SIC yang masih belum ada peruntukan lebih bagi membawa pelumba tempatan beraksi dalam saiangn musim ini,.
Namun, dia menyatakan bahawa tidak mustahil akan ada pelumba ‘wild card’ yang akan beraksi dalam GP Malaysia kelak jika ada pihak yang sudi menaja dan membantu SIC.