LITAR Antarabangsa Petronas Sepang teruja dengan penglibatan Liberty Media dalam kejohanan MotoGP dunia serta tidak bimbang akan status penganjuran Grand Prix Malaysia untuk masa akan datang.

Liberty Media, syarikat konglomerat dari Amerika Syarikat telah membeli MotoGP dari Dorna sekali gus menjadikan syarikat itu kini memegang hak penganjuran Formula 1 dan kini perlumbaan dua roda terbesar dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif bagaimanapun tidak bimbang dengan status hak penganjuran Grand Prix Malaysia dan dia merasakan perkara ini akan membawa sesuatu yang lebih baik buat sukan itu sendiri.

“Setakat ini pengambilalihan itu tidak memberikan kesan buat Sepang dan kita masih berurusan dengan pihak Dorna dari segi kontrak dan yuran penganjuran untuk masa akan datang sudah ditetapkan sehingga 2026.

“Sudah pasti akan ada perubahan dalam MotoGP selepas ini sebagaimana yang Liberty Media lakukan kepada Formula 1 dan pihak kami berharap strategi pemasaran yang dilakukan mereka akan melonjakkan imej MotoGP dan GP Malaysia itu sendiri,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar Ramadan Petronas Sepang International Circuit pada Selasa.

Shafriman juga turut mengesahkan perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia tahun ini akan memperlihatkan tambahan acara sempena ulang tahun ke-25 litar untuk menarik lebih ramai penonton hadir menyaksikan perlumbaan kedua terakhir musim itu.

Azhan Shafriman Hanif ketika sesi temu ramah ketika Iftar Ramadhan Petronas Sepang International Circuit

“Tahun ini kita akan sajikan satu kelainan dengan mengadakan konsert yang akan melunaskan artis tempatan dan antarabangsa selain berharap satu lagi perlumbaan yang berjalan dengan lancar di hadapan penonton yang ramai.

“Jualan tiket untuk musim ini juga cukup baik dengan peningkatan hingga tiga kali ganda berbanding tahun lalu dengan para peminat mengambil peluang mendapatkan promosi beli satu percuma satu yang kita lancarkan tahun lalu,” katanya.

Perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia akan berlangsung dari 1 hingga 3 November 2024 dengan 20 pelumba terbaik akan bersaing merebut kejuaraan juara bagi tiga kategori yang dipertandingkan.