PASUKAN JDT Racing Team akan menempa sejarah muncul dalam Kejuaraan WSBK Portugal di Litar Portimao dari 9 hingga 11 Ogos 2024 dengan pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah sudah bersedia untuk membuktikan kehebatannya.
Sejak ditubuhkan pada 2024, JDT Racing Team sering membawa imej yang berlatarbelakangkan negeri Johor dan jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika berlumba di Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 seperti bendera negeri, bendera daerah dan bendera Boys of Straits (BOS).
Kelainan yang dibawa ini mendapat perhatian ramai dengan Prinsipal Pasukan, Steven Tan berkata elemen unik ini bukan sahaja dapat menarik minat para penyokong tetapi juga ianya membawa jenama JDT ke tahap yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa.
Untuk perlumbaan WSBK di Portimao, Hafizh Syahrin akan menggunakan nombor 10 pada jentera Ducati Panigale V4R yang semakin serasi dengannya dan nombor 10 itu membawa maksud yang signifikan buat pasukan itu.
Nombor 10 dipilih sebagai tanda huruf ke-10 dalam abjad moden yang mewakili J. Huruf J sering digunapakai oleh penyokong bola sepak dan futsal di seluruh negara yang menggambarkan JDT dan kini JDT Racing Team pula akan mempopularkan abjad itu.
Jenama JDT kini bukan sahaja akan terpapar di kejohanan-kejohanan sekitar Asia tetapi juga akan lebih dikenali di Eropah dengan penyertaan tiket wildcard di Portugal nanti.
Tambah menarik dan boleh dianggap sebagai bonus buat pendatang baharu dunia permotoran ini adalah Hafizh Syahrin akan berlumba menggunakan jentera yang mempunyai spesifikasi sama seperti jentera milik penyandang juara dunia, Alvaro Bautista.
JDT Racing Team juga akan mendapat bantuan pasukan teknikal daripada Ducati Factory dan akan menggunakan ‘liveries’ JDT pada perlumbaan tersebut.