SEJAK mengambil alih tugasan sebagai Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon jelas mempunyai misinya tersendiri dan dilihat tidak kisah dengan siapa pun pilihan pemain yang diperolehinya berdasarkan masa dan ketika kejohanan yang disertai.

Ketika Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Pan-gon dilihat tenang mengendalikan para pemain yang kebanyakannya pemain baharu kerana ketiadaan pemain utama ekoran kejohanan serantau itu berada di luar kalendar antarabangsa Fifa.

Dia tidak melatah sebaliknya percaya dengan senarai pemain yang dipilih barisan kejurulatihan dan akhirnya berjaya mengejutkan semua pihak apabila dapat layak ke separuh akhir dan menjadi satu-satunya pasukan yang menewaskan juara, Thailand.

 

Pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis, Pan-gon sekali lagi membuktikan dia sudah mula menanam DNA Malaysia yang dikehendakinya dan para pemain dilihat selesa dengan taktikal yang diterapkan.

Bekas jurulatih Hong Kong itu juga berani memberikan peluang kepada muka-muka baharu yang dipanggil untuk beraksi sebagai debut mereka buat skuad Harimau Malaya dan hasilnya tetap sama, Malaysia mencatat kemenangan.

Dua pemain naturalisasi baharu, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos melakukan debut bersama skuad kebangsaan dan mempamerkan aksi yang menyakinkan namun masih memerlukan masa untuk lebih memahami taktikal yang diberikan.

Nooa Laine dimasukkan pada babak kedua untuk debut Harimau Malaya

Tiga tonggak muda negara, Fayadh Zulkifli, Feroz Baharudin dan pemain warisan Malaysia-Finland, Nooa Laine turut diberikan debut dengan masing-masing berjaya untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan menutup mulut pengkritik dengan aksi yang baik.

Bukan mudah untuk seorang jurulatih asing memberikan peluang kepada pemain-pemain baharu terutamanya pemain muda untuk membuat penampilan pertama pada aksi Tier 1 Antarabangsa.

Meskipun ada beberapa pemain yang kelihatan gugup, namun itu adalah proses pembelajaran yang diperlukan oleh setiap pemain apabila mereka diturunkan dan pastinya akan menjadi pengalaman peribadi buat pemain.

Aksi debut yang meyakinkan dari Fayadh Zulkifli

Perlawanan seterusnya menentang Hong Kong sudah tentu menarik minat lebih banyak penyokong dan Pan-gon pastinya sudah mempunyai perancangan yang rapi dan pemain yang dirasakan sesuai untuk menghadapi lawan Asia Timur itu.

Jika berjaya menewaskan Hong Kong, Malaysia dapat melakukan ‘double’ terhadap mereka seperti mana yang dilakukan kepada Turkmenistan yang ditewaskan pada aksi Kelayakan Piala Asia Jun tahun lalu di Kuala Lumpur.

Tahniah buat kelima-lima pemain yang melakukan debut. Diharap ianya akan menjadi pemangkin semangat untuk beraksi lebih baik seterusnya kekal dalam panggilan skuad kebangsaan.