KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji sikap positif yang ditunjukkan para pemainnya terutama pemain tempatan yang pada hematnya boleh membantu memperbaiki persefahaman antara satu sama lain.

Kim Swee berkata demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 3-0 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Ini adalah kemenangan kedua Sang Badak ke atas kelab dari Liga Perdana Singapura dan ketiga dalam tempoh seminggu selepas berjaya membenam cabaran Geylang International FC 6-0 dan Melaka FC 4-0 minggu lalu.

 

Namun begitu beliau masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan corak permainan pasukan dan sudah mengenali kelemahan serta tidak mahu menilai prestasi pemain import ketika ini kerana ianya masih terlalu awal.

“Dari segi corak permainan masih ada kekurangan namun tiga perlawanan persahabatan ini sangat penting untuk saya kenali kelemahan dan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan pasukan berada pada tahap yang lebih baik ketika saingan Liga Super bermula nanti.

“Masih terlalu awal untuk saya nilai prestasi pemain import dan mereka semua akan dinilai apabila liga bermula sama ada mereka serasi atau tidak menunjukkan prestasi yang baik. Untuk berlaku adil, kita tidak boleh menilai mereka buat masa sekarang.

“Semua pemain bermain begitu baik dengan menunjukkan sikap yang cukup positif dan ini penting bukan hanya di dalam padang malah di luar padang pemain perlu bekerjasama antara satu sama lain,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu pengendali Tampines Rovers, Gavin Lee menerima keputusan ini meskipun menganggap tiga gol yang dilepaskan itu boleh dielakkan tetapi secara keseluruhan dia berpuas hati dengan persembahan pasukannya sebagai persiapan untuk sepak mula Liga Perdana Singapura yang bakal bermula pada 25 Februari 2023.

Gol-gol Sabah dijaringkan oleh Gabriel Scmegel menerusi penalti pada minit keempat dan Saddil Ramdhani pada minit ke-26 sebelum Darren Lok melengkapkan kemenangan bergaya dengan jaringan ketiga pada minit ke-63.