GARA-GARA tidak sabar, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terlepas peluang keemasan merangkul kejuaraan sulung tahun ini selepas tewas di final Terbuka Switzerand pada Ahad.
Gandingan itu mengakui, tergesa-gesa mahu mematikan pukulan lawan dan enggan bermain dalam rali yang panjang, mengundang padah terutamanya dalam set penentuan.
“Memang kecewa dengan kekalahan ini, sebab kita fokus untuk mendapatkan kejuaraan Terbuka Switzerland. Tahun lalu kami berjaya mara ke final juga (sekadar naib juara) jadi tahun ini kami mahu mencatatkan keputusan lebih bagus, hingga memberi tekanan untuk beraksi lebih baik,” kata Shevon.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, mereka mula hilang fokus pada kedudukan 16-16 apabila tidak banyak bersabar dan tidak melakukan apa yang perlu dilakukan.
“Kami tergesa-gesa hendak mematikan pukulan lawan. Ia menyebabkan kami memberi ruang buat mereka mengawal perlawanan dan mendapat momentum. Sayang sekali kami tidak memperlahankan sedikit rentak permainan dan bersabar sambil bertarung dalam permainan rali.
“Sebenarnya di set kedua minda kami ketika itu sudah bagus walaupun ketinggalan (tewas di set pertama). Ketika itu kami tidak fikir banyak, tidak terlalu tumpu kepada pungutan mata, hanya fokus apa yang perlu dilakukan,” kata Shevon.
Justeru, Shevon menyimpulkan pemain yang lebih tahan bersabar akan memenangi perlawanan.
Shevon dan Soon Huat kini menduduki ranking ke-11 dunia, akur kepada pasangan muda China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas kalah 17-21, 21-19, 17-21.
Mereka akan meneruskan aksi di Eropah dengan bermain di Masters Sepanyol yang membuka tirai esok dan pasangan kekasih itu bakal memulakan saingan berdepan wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen di pusingan pertama.