SEMANGAT bola sepak yang begitu tinggi telah tersemat dalam jiwa seorang penyokong tegar Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Raihan Sohimi yang tidak sabar ingin melihat pasukan kesayangannya mengangkat trofi Piala Malaysia 2023.
Pemuda berusia 28 tahun ini memberitahu kepada FLASH SUKAN bahawa dia akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini bersama-sama dengan lapan rakannya yang lain untuk memberikan sorakan padu buat pemain-pemain Harimau Selatan.
Menurut Raihan, impiannya untuk menyaksikan sendiri JDT melangkah sebagai juara piala berprestij itu buat kali kedua berturut-turut akan memberi satu kepuasan dan nikmat sebagai seorang peminat bola sepak yang tidak pernah berhenti memberi sokongan terhadap pasukannya.
“Saya gemar turun ke stadium untuk melihat JDT beraksi sejak tahun 2013 dan saya gembira melihat setiap kejayaan yang mereka telah dakap meskipun menerima pelbagai dugaan dan kata-kata kotor daripada ‘haters’.
“Kini JDT sudah sampai di peringkat Asia jadi pastinya mereka akan bermain dengan intensiti tinggi ketika berdepan Terengganu FC kerana perlawanan akhir ini sangat berbeza dengan perlawanan-perlawanan sebelum ini.
“Mereka perlu lebih berhati-hati dengan pihak lawan dan bagi saya, taktik dari Esteban Solari untuk mencari idea dapat menjaringkan gol amat penting sekali gus mengawal rapi pemain utama mereka seperti Ivan Mahmood dan Sony Norde,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Raihan turut memberi jaminan bahawa karakter pemain JDT tiada dalam pasukan lain seperti ‘winning mentality’ dan sikap dahagakan kemenangan akan memacu mereka ke sebuah titian penamat yang menggembirakan.
Manakala pemain pilihannya yang akan beraksi penuh cemerlang semasa hari perlawanan nanti tidak lain tidak bukan seorang pemain dari Brazil yang sudah menjaringkan lebih 100 gol bersama JDT, Bergson Da Silva.