HASRAT Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk kembali menabur bakti bersama pasukan kelahirannya, Penang FC menjadi kenyataan apabila penjaga gol berbakat ini sah dipinjamkan untuk musim baharu yang bakal bermula pada Mei ini.
Sebelum ini, Penang berjaya mengikat khidmat Khairu Azrin Khazali dan Muhammad Nabil Ahmad Latpi sekali gus mengukuhkan kekuatan mereka dengan kehadiran penjaga gol muda dari Seberang Jaya, Perai.
“Sudah semestinya saya akan berikan yang terbaik memandangkan impian saya untuk beraksi dengan kelab yang saya sudah lama impikan untuk beraksi.
“Ibarat pulang ke kampung, saya pasti akan cuba yang terbaik kepada pasukan untuk membanggakan penyokong Penang FC,” ujar pemain berusia 21 tahun itu.
Tambahan, Sikh Izhan sebelum ini telah merasai pengalaman dipinjamkan kepada Negeri Sembilan FC pada musim lepas, dan kali ini pula Selangor FC telah mengeksport dirinya untuk berkhidmat buat Penang FC pada musim 2024-2025.
Walaupun hanya berstatus pemain pinjaman, Sikh Izhan telah mempamerkan semangat yang tinggi dan penuh keyakinan untuk memulakan musim baharu bersama Penang FC.