MESKIPUN pengadil perlawanan Constantine Hatzidakis menyiku pertahanan Liverpool, Andy Robertson hujung minggu lalu namun dia terlepas daripada sebarang hukuman pihak FA England.

Hatzidakis tidak akan dikenakan tindakan tatatertib daripada FA, selepas dirakam kamera menyiku Roberton dalam perlawanan Liverpool menentang Arsenal di Anfield.

“Kami telah menyemak dengan teliti semua bukti berhubung insiden di Anfield baru-baru ini, melibatkan pertahanan Liverpool Andrew Robertson dan pengadil perlawanan Constantine Hatzidakis, dan kami tidak akan mengambil tindakan lanjut.

“Proses komprehensif kami melibatkan semakan kenyataan terperinci daripada Liverpool dan PGMOL, serta pelbagai sudut rakaman video, berhubung insiden dan keadaan di sekelilingnya,” kata FA dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataannya kepada PGMOL atau Badan Pengadil Profesional British, Constantine Hatzidakis mengakui dia telah bekerjasama dengan FA semasa siasatan. Hatzidakis juga telah meminta maaf kepada Andy Robertson secara tertutup.

“Saya tidak sabar untuk kembali menjadi pengadil perlawanan.

“Saya membantu FA sepenuhnya dalam siasatan mereka, dan telah membincangkan perkara ini secara langsung dengan Andy Robertson dalam perbualan terbuka dan positif.

“Sudah tentu bukan niat saya untuk bersentuhan dengan Andy apabila saya menarik lengan saya daripadanya.

“Untuk itu saya telah memohon maaf,” kata Hatzidakis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PGMOL.