BERSAING buat kali keempat dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia, Muhammad Robial Sobri mengharapkan nasib malangnya tidak berulang untuk edisi ke-19 di sini apabila memulakan langkah memburu pingat emas dengan menumpaskan jaguh Indonesia untuk mara ke separuh akhir.
Tiga edisi kejuaraan berturut-turut sebelum ini menyaksikan nasib malang mengiringi pesilat acara tanding dari Kedah itu apabila mengalami pelbagai kecederaan yang menyebabkan dia kalah atau terpaksa mengundur diri.
“Saya sangat berpuas hati dengan perlawanan tadi. Ini adalah kali keempat saya bertanding dalam Kejuaraan Dunia, banyak pertandingan sebelum ini saya menghadapi masalah (cedera). Jadi kali ini saya harap kemenangan hari ini menjadi permulaan terbaik untuk nasib yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
“Untuk perlawanan seterusnya saya akan mencuba yang terbaik dan mengharapkan rakan-rakan serta peminat silat mendoakan kejayaan saya,” katanya selepas menumpaskan Hendra Wahyu Hidayat dari Indonesia 40-17 dalam Kelas I di peringkat suku akhir pada Khamis.
Ini adalah kali pertama pesilat berusia 29 tahun itu bersaing dalam kategori berat badan 85-90kg untuk Kejuaraan Dunia, beralih daripada kelas H (80-85kg) yang ditandinginya dalam Sukan SEA.
Namun begitu, Muhammad Robial tidak kurang pengalaman bersaing dalam kelas I kerana dia pernah meraih pingat gangsa Sukan Asia di Jakarta-Palembang pada 2018.
Lawan seterusnya yang menanti pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu adalah pendatang baharu Earl Hurlburt dari Amerika Syarikat yang mara selepas menaklukkan cabaran Piyush Abhay Shukla DARI India dengan kemenangan 36-12.
Pertemuan mereka dalam peringkat separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (Matic), Ayer Keroh.
“Sebelum ini saya menghadapi pelbagai kecederaan. Sekarang pun masih ada slip disc dan agak mengganggu juga permainan saya tetapi dibantu dengan penggunaan ubat untuk menghilangkan kesakitan.
“Dalam Sukan SEA sebelum ini saya bergantung kepada suntikan penghilang sakit. Sebenarnya Doktor telah mencadangkan agar saya menjalani pembedahan selepas Sukan SEA di Hanoi tetapi saya tangguhkan demi misi saya memburu kejayaan dalam Kejuaraan Dunia,” katanya.