PEMAIN tenpin boling negara, Sin Li Jane mencipta sejarah baharu apabila berjaya memenangi kejohanan boling Terbuka AS pada Selasa.
Atlet berusia 32 tahun itu merangkul kejuaraan Terbuka AS selepas menewaskan pemain Latvia Diana Zavjalova 226-214 dalam perlawanan akhir di Royal Pin Woodland Bowl di Indianapolis.
Ia juga merupakan kejuaraan utama pertama dalam karier dirinya dalam Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).
Li Jane merupakan atlet Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang memenangi Terbuka AS, dan kedua dari benua Asia untuk melakukannya.
Atlet boling Asia pertama yang memenangi kejohanan Terbuka AS ialah Shinobu Saitoh Jepun pada tahun 1982.
Anak jati Perak itu akui berasa sangat gembira dengan kemenangan ini kerana telah menunggu detik ini dengan begitu lama sekali.
“Saya sudah lama mengimpikan detik ini, dan selepas menyaksikan pemain boling lain memenanginya semasa berada di tempat lawan, hari ini, saya memenanginya,” kata Li Jane.
Pencapaian terbaik pemain boling Malaysia sebelum ini adalah Datuk Shalin Zulkifli yang menduduki tempat ketiga pada 2008.
Dengan kemenangan ini, Li berjaya membawa pulang AS$60,000 (RM283,000) dan juga gelaran PWBA ketiganya pada tahun ini.
Terdahulu, dia berjaya memenangi kejohanan Greater Nashville Classic pada 31 Mei dan Terbuka Journal Rockford pada 11 Mei.