KEMELUT isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh beberapa pemain Kuala Lumpur (KL) City FC kelihatannya akan segera berakhir.
Perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh Penaung KL City, Fahmi Fadzil yang memberi signal positif dapat menyelesaikan hutang pemain dengan kadar segera walaupun tarikh akhir pembayaran pertama telah berakhir semalam.
Jelas bahawa kehadiran penaung baharu merangkap Menteri Komunikasi dan Digital ini dapat memberi serba sedikit semangat dan sinar baru buat pasukan The City Boys untuk kekal beraksi dalam Liga Malaysia musim 2024-2025 ini.
“Saya telah dilantik menjadi penaung persatuan ini pada Jun lalu. Dan beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa pihak termasuk KLFA dan KL City FC telah bertemu dengan saya dan membincangkan beberapa perkara.
“Jadi dua hari lalu, saya, Stanley Bernard dan Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah Persekutuan juga Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh telah mencapai kata putus untuk melakukan beberapa perkara terutama dalam menyegerakan bayaran tunggakan.
“Dalam masa yang sama, Datuk Bandar telah berhubung segera dengan MFL untuk menyatakan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyelesaikan perkara ini.
“Jadi proses untuk melangsaikan semua pembayaran akan mengambil masa yang mungkin tidak terlalu lama, perlu mengikut prosedur yang tertentu.
“Saya mahu pastikan KL City dapat bersedia sepenuhnya untuk memulakan musim baru nanti. Dan mungkin pada minggu hadapan, saya akan turun melihat sendiri tahap persediaan para pemain,” ujarnya selepas program Teh Hijau Kuala Lumpur yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yakin bahawa masalah tunggakan gaji yang dialami oleh pihak KL City akan berakhir dan mereka juga beranggapan bahawa isu yang menimpa pasukan ini tidaklah begitu serius.