MAJLIS Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama 100Plus telah memberi sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada atlet yang terpilih.
Sebanyak sembilan atlet negara terdiri daripada lima atlet Program Podium dan 4 atlet para terpilih menerima sumbangan itu.
Antara atlet yang terpilih ialah atlet olahraga Haiqal Hanafi dan atlet tinju Aswan Che Azmi serta atlet para berbasikal Nurul Suhada Zainal.
Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh MSN, pemilihan atlet-atlet ini adalah berdasarkan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan serta ahli keluarga yang dibelenggu masalah kesihatan supaya dapat meringankan beban untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub dan Pengarah Penglibatan Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee.
Inisiatif ini adalah kesinambungan program daripada pihak 100Plus yang sebelum ini bekerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan memberi sumbangan kepada bekas atlet-atlet negara.