PENGURUSAN Perlis United FC merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana memberi peluang kepada pasukan Perlis United FC untuk bersaing dalam Liga Super 2024/2025.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozailmee Zulkeply melahirkan rasa bersyukur dan berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyertai peringkat tertinggi bola sepak Malaysia buat pertama kali.

“Pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi, dan kerja keras seluruh pengurusan pasukan, jurulatih, pemain dan kaitangan kelab.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kami, penyokong setia, dan semua orang yang telah menyumbang dalam perjalanan kami ke arah Liga Super. Sokongan berterusan anda telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami.

“Kami berjanji akan berkerja keras dan memberikan usaha yang terbaik untuk memberikan persembahan terbaik untuk Perlis United FC dalam pertandingan ini,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Rozailmee Zulkeply

Beliau turut akui saingan yang cukup sengit dalam Liga Super dan beliau dan pasukan akan bersedia untuk menghadapinya.

“Kami akan mempertahankan maruah kelab dan membanggakan penyokong kami melalui usaha dan semangat kami dalam setiap perlawanan,” tambahnya lagi.

Beliau turut meminta sokongan penuh daripada masyarakat Malaysia, khususnya rakyat Perlis untuk memberi sokongan penuh kepada pasukan dalam perjalanan mereka untuk saingan liga musim ini.

No photo description available.

Skuad Perlis United pada musim lepas menamatkan saingan Liga M3 di kedudukan kelapan.

Selain Perlis United FC, turut mengemukakan permohonan adalah kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot ke-14 selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

ARTIKEL BERKAITAN : Perlis United FC dalam pertimbangan akhir ke Liga Super

Namun, selepas keputusan yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB), pasukan The Rising Star berpotensi besar untuk menyertai saingan Liga Super musim ini jika dapat memenuhi syarat tambahan yang dikemukakan oleh MFL.

Perlis United FC muncul sebagai pasukan bola sepak tunggal mewakili negeri Perlis selepas penggantungan dan pembubaran pasukan Perlis Northern Lions (nama sebelumnya Perlis FA) ekoran masalah gaji pada 2019.