MENTAL pemain hoki negara teruji dan terbukti kental sepanjang menghadapi empat perlawanan pada siri jelajah persahabatan antarabangsa di Korea Selatan.

Pengalaman itu disifatkan amat berharga buat Speedy Tigers menjelang saingan di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia, yang akan berlangsung dari 3 hingga 12 Ogos di Chennai, India.

Pada Selasa, perlawanan terakhir pada siri jelajah itu menyaksikan skuad bimbingan A.Arulselvaraj memperoleh kemenangan pertama yang dipenuhi kontroversi sepanjang empat pertemuan siri jelajah persabatan dengan skuad kebangsaan Korea Selatan sejak 21 Jun lalu dan secara keseluruhannya, ia memberi gambaran mengenai sudut manakah yang perlu diperkemaskan lagi.

Arul memuji keupayaan pemain yang dapat menunjukkan prestasi positif meskipun bermain di bawah tekanan untuk menewaskan lawan 2-1 di Pusat Latihan Nasional Jingcheon, Incheon dan baginya, pasukan menerima pengajaran berguna terutama dari sudut penyudah.

“Perlawanan terakhir jelajah Korea, kita dapat tewaskan mereka 2-1. Perlawanan yang penuh tekanan dari segi emosi dan mental untuk individu.

“Salah satu sebabnya, kita bermain dengan 18 pemain manakala mereka 20 pemain.

“Dari segi fizikal, kita tertekan dan situasi pengadilan pula memang agak ketara (bias). Pengadil melayangkan kad dengan sewenang-wenangnya, kita dapat empat kad… dua kad kuning dan dua kad hijau manakala mereka pula dapat satu kad hijau.

“Ini bukan alasan tetapi kenyataan namun pemain kita sebagai individu, mereka mengambil tekanan ini untuk menang. Satu kemenangan yang bagus apatah lagi bermain di bawah tekanan. Satu tugas yang bagus daripada pemain dengan usaha dan kemahuan yang tinggi,” jelas Arul.

Kemenangan itu menutup tirai siri jelajah dengan Malaysia meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.

“Perlawanan ini memberi kita maklumat berguna mengenai pasukan Korea Selatan kerana mereka bermain dengan sepenuh hati, siri perlawanan ini juga menjadi pemilihan terakhir mereka ke Sukan Asia dan mereka memberikan yang terbaik untuk menarik minat jurulatih mereka.

“Mereka dapat belajar cara pergerakan kita dan kita juga sama… banyak yang boleh kita perbaiki lagi dalam jelajah ini. Kita dapat jaringkan banyak jaringan padang (FG), jadi untuk seterusnya, kita perlu memberi tumpuan kepada penyerang untuk dapatkan jaringan padang ataupun daripada pukulan sudut penalti (PC) juga,” kata Arul.