PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) terhadap pelaksanaan sistem kiraan 15 mata yang akan dikuatkuasakan badan induk sepak takraw dunia itu, bermula Februari tahun depan.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selepas dimaklumkan ISTAF bahawa sistem 15 mata akan digunakan tahun hadapan, mereka melaksanakan perlawanan demonstrasi ketika Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Melaka baru-baru ini.
Menurutnya, sistem 15 mata itu berlangsung terlalu singkat, sehingga mencacatkan drama, keseronokan serta debaran saingan.
Katanya, perlawanan dua set akan berakhir dalam masa hanya lebih kurang 30 minit dengan setiap set antarsa 12 atau 13 minit sahaja malah mungkin hanya 45 minit sekiranya diheret kepada set penentuan.
“Kami sudah membuat (perlawanan) demonstrasi sistem 15 mata ini ketika Piala Tun Ali (antara Selangor dan Terengganu dan Angkatan Tentera menentang Phitsanulok).
“Ada dua jenis servis yang digunakan (demonstrasi 15 mata baharu), satu servis setiap regu dan dua kali servis (berturut-turut dan bergilir-gilir dengan lawan).
“Jika dilaksanakan juga sistem kiraan 15 mata ini, keunikan sepak takraw itu akan hilang, malah penonton tengok (perlawanannya) tidak puas. PSM tidak setuju sebab terlalu cepat,” katanya.
Menurut Sumali, PSM sudah menghantar surat dan rakaman video perlawanan demonstrasi berkenaan kepada ISTAF untuk dipertimbangkan dan dikaji semula pelaksaan sistem kiraan 15 mata.
“PSM juga mencadangkan sistem kiraan 21 mata dikekalkan. Satu lagi cadangan kami ialah kekalkan 21 mata tetapi dengan satu servis setiap regu,” katanya.
September lalu, ISTAF memutuskan untuk kembali menggunakan sistem kiraan 15 mata bermula 2 Februari tahun depan berbanding 21 mata yang digunakan ketika ini.
Bagaimanapun, badan induk itu mengekalkan jumlah servis iaitu sebanyak tiga kali secara bergilir-gilir.