SERVIS kuda mahupun kala jengking, bukan lagi kelebihan mutlak menentukan kemenangan, sebaliknya pengenalan sistem 15 mata dengan satu servis pada kempen Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024 di Kuala Lumpur bulan ini, menjadi lebih terbuka kepada 21 negara anggota yang mengambil bahagian.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, dengan setiap pasukan hanya dibenar mendapat giliran sekali servis bergilir-gilir, menjadikan perlawanan lebih menarik apabila sistem itu dapat mengurangkan purata mata tinggi menerusi servis ace.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan optimis sistem sekali servis menjadikan perlawanan sepak takraw lebih terbuka.

“Bukan Malaysia sahaja akan mendapat pengalaman pertama sekali servis ini, semua pasukan kerana ia kali pertama diimplemen.

“Saya rasa ianya membuka peluang kepada semua pasukan kerana dengan sekali servis, boleh mematahkan momentum (tekong).

“Jadi, kita (Malaysia) akan menggunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin, supaya memihak kepada kita,” kata Sumali.

Ujar beliau, jika sistem tiga servis sebelum ini, ada pasukan terutamanya Thailand mampu meraih tiga mata berturut-turut menerusi servis ace, keadaan itu pasti tidak berlaku lagi selepas ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu keselamatan atlet turut menjadi keutamaan PSM ketika menjadi tuan rumah, biarpun berasakan insiden melanda arena bola sepak negara ketika ini, mungkin tidak ada hubung kaitnya dengan sepak takraw.

“Saya rasa mungkin tidak memberi kesan kepada kita, tetapi kami tetap mengambil langkah berjaya-jaga dengan memastikan tahap keselamatan di hotel penginapan dan sebagainya, kita telah minta (PDRM) meningkatkan ciri keselamatan.

“Bagi pemain kita, saya tegaskan peraturan keluar masuk perlu dilaporkan dan pemain tidak boleh bersendirian. Ia penting selain faktor keselamatan kerana kita juga mahu semangat sepasukan,” tambah Sumali lagi.

Dalam pada itu, Sumali menegaskan sasaran awal dari PSM adalah Malaysia layak ke final dalam ketiga-tiga acara, double, regu dan berpasukan.