MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluangkan masa melawat para atlet menembak yang sedang bertanding di Lapang Sasar Menembak, Petra Jaya sempena Sukma Sarawak.
Dalam lawatan tersebut, beliau menyatakan kegembiraannya melihat perkembangan fasiliti sukan di negara ini.
“Saya gembira melihat lapang sasar menembak ini dilengkapi dengan sistem elektronik yang lebih terkini berbanding yang digunakan di Sukan Olimpik Paris. Ia bukan sahaja memudahkan para atlet, tetapi juga membolehkan penonton mengikuti setiap detik pertandingan dengan lebih teliti dan tepat,” kata Hannah.
Sistem elektronik yang canggih ini membolehkan penilaian markah dilakukan dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan pengalaman sukan tersebut untuk semua pihak yang terlibat.
Kehadiran beliau turut memberi semangat kepada atlet-atlet yang sedang berjuang merebut pingat dalam temasya kali ini.
Lapang Sasar Menembak Petra Jaya telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di Malaysia, dan lawatan ini menandakan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap acara sukan di Sukma dijalankan dengan piawaian yang tinggi.