TONGGAK pertahanan skuad Malayan Tigress, Siti Nurfaizah Saidin meluahkan kelegaan dan gembira apabila melihat prestasi yang begitu baik oleh rakannya dan memberikan yang terbaik hingga minit akhir perlawanan.
Faizah yang berusia 21 tahun juga mengakui kehebatan pasukan tuan rumah itu sekali gus akan memastikan pasukannya untuk beri aksi yang lebih cemerlang selepas ini.
Aksi perlawanan antarabangsa dalam Kejohanan Women’s International Friendly antara Malayan Tigress menentang Arab Saudi menyaksikan keputusan berakhir seri 0-0, semalam.
Pertembungan sengit yang berlangsung di Stadium King Fahd Sports City, Taif itu telah membuktikan kehebatan pasukan Malaysia yang dapat mengikat pasukan Arab Saudi.
“Saya pasti kami banyak belajar dalam perlawanan dengan Arab Saudi dan kami akan ‘comeback’ dengan asakan lebih sempurna buat Malaysia selepas ini.
“Tidak lupa juga kepada penyokong di Malaysia dan Arab Saudi, terima kasih dan terus menyokong kami dalam aksi Malayan Tigress yang seterusnya,” katanya dalam temu bual bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perlawanan seterusnya menyaksikan Malaysia bakal bertemu Pakistan pada Jumaat di Stadium King Fahd Sports City, Taif.
Pertemuan ini penting bagi memastikan anak buah kendalian Soleen Al-Zoubi meraih slot sebagai dua pasukan teratas kumpulan untuk melayakkan pasukan ke pusingan separuh akhir pada Rabu, 27 September 2023.