RATU silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir akui peraturan baharu yang diperkenalkan adalah lebih mencabar dan bersifat lebih terbuka dan adil kepada semua pesilat.
“Secara peribadi, ia sangat terbuka untuk semua negara, tidak boleh dijangka, kalau semua belum ini kita boleh jangka siapa akan ke final. Sangat-sangat agresif, lincah, jadi kita kena sangat berhati-hati.
“Dalam kategori tanding, misalnya, kalau sebelum ini sebanyak lima juri diperlukan, kini akan terdapat tiga juri.
“Mereka akan dibantu sistem pemarkahan digital dan kamera serta video rakaman. Dengan sistem ini, untuk mendapat markah bagi setiap teknik yang dilakukan, ia memerlukan dua juri yang mencatat markah. Sekiranya hanya seorang juri yang mencatat, markah itu tidak akan diambil kira.
“Bagi kategori seni, jika sebelumnya hanya lima juri yang mencatat markah, dalam peraturan baru kelak, sebanyak 10 juri diperlukan mengadili acara.
“Sistem penyingkiran yang digunakan untuk seni, akan menjadi sistem kalah mati, yang menyaksikan pemenang terus ke tangga seterusnya hingga ke peringkat akhir, manakala pasukan yang gagal di separuh pusingan akan berkongsi gangsa,” katanya kepada media selepas acara penyerahan bendera Jalur Gemilang.
Sementara itu, Mohd Fauzi Khalid menyifatkan Kejohanan Silat Dunia 2022 yang akan diadakan di MITC, Melaka kali ini merupakan medan terakhir sebelum dia mengumumkan persaraan.
Atlet berasal dari Pulau Pinang itu akui berasa berat untuk meninggalkan kem silat kebangsaan kerana terlalu banyak kenangan pahit manis yang telah dilalui sepanjang bergelar atlet negara.
“Saya sasar untuk tamatkan di sini. Permulaan main Kejuaraan Dunia 2007 di Malaysia dan akan akhiri di sini juga.
“Saya akan tamatkan karier sebagai pesilat negara.
“Berat jugalah untuk saya, sebab banyak kenangan yang ada, sejak 2007, pahit manis semua ada. Memang mengharap keajaiban untuk 2022 ini untuk menutup kareer dengan kenangan manis,” ujar Fauzi.
Untuk rekod, ia merupakan penampilan keempat Fauzi sejak memulakan debut beraksi dalam Kelas G Putra (75-80 kg) Kejuaraan Silat Dunia di Malaysia pada 2007, 2010 (Jakarta), 2012 (Thailand) dan 2022 di Melaka.
Manakala, Siti Rahmah pula berada pada penampilan kelima sejak 2012 dengan misi mempertahankan kejuaraan kelima berturut-turut dalam kategori Kelas F Putri (70-75 kg) Kejuaraan Silat Dunia 2022, Melaka.