JURULATIH Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain meluahkan perasaan terharu selepas pasukannya berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Gol tunggal perlawanan yang dihasilkan pada penghujung babak pertama cukup untuk memberikan tiga mata penting kepada pasukan Hijau Kuning, sekaligus menamatkan kemarau kemenangan selepas tiga keputusan seri berturut-turut.
Nafuzi, yang jelas terkesan dengan persembahan anak buahnya, tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya terhadap dedikasi dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain-pemain, terutama dalam keadaan pasukan yang menghadapi pelbagai cabaran.
“Syukur Alhamdulillah untuk tiga mata yang amat berharga ini, selepas tiga perlawanan sebelum ini kita hanya seri, malam ini tiada kata yang cukup untuk menggambarkan perasaan saya.
“Pemain telah berikan segalanya dari segi karakter dan usaha sepanjang 90 minit perlawanan, walaupun kita tahu keadaan pasukan sekarang amat sukar,” kata Nafuzi pada sidang media selepas perlawanan.
Disamping itu, Nafuzi turut menyatakan bahawa persediaan pasukan bagi perlawanan tersebut tidak berada pada tahap terbaik dalam tempoh dua bulan terakhir dan walaupun kekurangan latihan, para pemain tetap profesional dan berjuang.
“Sejujurnya, dua bulan sebelum ini pemain hanya datang dalam beberapa hari latihan, dan kami ada cuti sebulan sebelum perlawanan.
“Dari segi persediaan, kita tahu memang tidak cukup, baik dari segi fizikal mahupun mental tetapi malam ini segala masalah diletakkan ke tepi dan mereka memberikan segalanya,” tambah Nafuzi.
Ketika berdepan Terengganu, yang merupakan pasukan lamanya, Nafuzi menyedari kualiti pemain lawan, tetapi menekankan bahawa Kedah perlu menggunakan strategi lebih bijak untuk mendapatkan kemenangan.
“Kebanyakan pemain Terengganu saya kenal dengan baik kerana mereka pernah bersama saya sebelum ini, jadi saya tahu bagaimana kualiti yang mereka ada untuk bermain malam ini.
“Kalau kita berlawanan dengan fizikal mungkin kita agak ketinggalan sedikit jadi kita tidak perlu membazirkan tenaga yang tidak berguna kerana apabila kita mendapatkan jaringan, separuh masa kedua kita lebih kepada corak bertahan,” jelas Nafuzi.
Meskipun kemenangan ini amat penting, Nafuzi tetap realistik dengan situasi semasa pasukan, yang sedang menghadapi beberapa cabaran dalaman dan dia tetap optimis dengan semangat juang pemainnya.
“Apa yang penting malam ini adalah kehendak pemain sendiri untuk bermain, sistem atau strategi apa sekalipun tidak akan berhasil jika tiada usaha daripada pemain.
“Malam ini mereka tunjukkan komitmen penuh, dan saya benar-benar terharu dengan apa yang ditampilkan,” katanya lagi.
Kemenangan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada Nafuzi dan pasukannya, tetapi juga menghidupkan kembali keyakinan para penyokong Kedah Darul Aman FC untuk melihat pasukan terus bersaing dalam liga.
“Harapan saya tinggi, dan saya hanya berharap semua pemain saya akan terus bersama saya untuk perlawanan-perlawanan akan datang.”
Kedah FC kini mengumpul tiga mata penting dan berharap kemenangan ini dapat menjadi pemangkin untuk terus melakar keputusan positif dalam perlawanan yang akan datang, meskipun cabaran masih menanti.