MUNCUL satu-satunya atlet negara meraih dua pingat emas di Sukan ke-19 setakat ini, wirawati skuasy, S Sivasangari menganggap satu pencapaian ‘gila’.
Menurutnya, mengimbau kejadian setahun lalu, dia mengalami kemalangan yang hampir meragut nyawa dan berkemungkinan tidak dapat bermain skuasy lagi, dua pingat emas di Temasya Hangzhou bukanlah suatu yang dirancang.
“Saya sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa jika saya dapat melalui cabaran tahun lalu (kemalangan) dan bangkit dengan lebih kuat, saya boleh lakukan dan capai apa sahaja yang saya mahukan.
“Ini adalah satu perjalanan yang gila kerana saya tidak menyangka dapat memenangi dua pingat emas selepas apa yang saya hadapi sebelum ini.
“Ada sebab mengapa sesuatu perkara itu terjadi dan ini adalah peluang kedua buat saya. Jadi saya gembira dapat kembali,” katanya.
Pada Temasya Jakarta-Palembang lima tahun lalu, Sivasangari meraih satu perak dan satu gangsa menerusi perseorangan dan berpasukan wanita.
Kisah mengenai kebangkitan Sivasangari bagaikan sebuah drama namun ia seharusnya menginspirasikan.
Pemain skuasy berusia 24 tahun itu terlepas peluang sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel 2022 dan terlepas aksi di Birmingham, selepas kemalangan pada Jun 2022.
Sivasangari mengakui, diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, bagai memikul tanggungjawab besar, namun dia berazam untuk bangkit.