SKUASY terus menjadi lubuk pingat buat kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou, apabila S Sivasangari meraih emas dalam acara perseorangan wanita.
Pada final berlangsung di arena skuasy Pusat Expo Antarabangsa Hangzhou, Sivasangari menempuh perlawanan paling mendebarkan dalam pertarungan yang berlarutan ke lima set ketika menentang Chan Sin Yuk dari Hong Kong, yang berlarutan dalam tempoh 64 minit.
“Set kelima paling menakutkan, saya tak tahu apa jadi pada saya, sepanjang masa ketinggalan.
“Jadi, saya beritahu diri sendiri, cuba untuk kekalkan tempo, kau sudah banyak berusaha, cuba dapatkan satu lagi mata sahaja,” kata Sivasangari, menceritakan detik cemas perlawanan itu.
Pada final terbabit, Sivasangari tewas 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10.
“Hari ini memang do or die… pertemuan terakhir kami juga berlangsung 5 set, dia menang tapi kali ini saya yang menang.
“Jika orang lain di luar gelanggang berdebar, saya dalam gelanggang berasa cuak sepanjang masa,” kata Sivasangari yang mendedikasikan kemenangan itu kepada keluarga dan dua jurulatih, Ajaz Azmat (ketua jurulatih kebangsaan) dan David Palmer (jurulatih peribadi di Amerika Syarikat).
Setakat ini, skuasy menyumbang 2 emas, 1 perak dan 1 gangsa.