PEMAIN skuasy wanita negara, S.Sivasangari merakam detik paling berharga dalam kerjayanya, apabila menjuarai kejohanan Jelajah PSA Emas pertama di London Classic 2024.
Lebih manis, dia mencalar maruah kuasa skuasy dunia, Mesir apabila menewaskan pemain nombor 2 dunia, Hania El Hammamy di final.
Sivasangari, 25, meneruskan rentak konsisten sepanjang kejohanan mengatasi El Hammamy 3-2 (11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8) dalam tempoh 81 minit di Alexandra Palace London.
Gelaran Emas penuh bermakna itu hadir dengan kejutan ke atas tiga lawan ‘gergasi’ bermula dengan penyingkiran pemain Nombor 1 dunia Nour El Sherbini (Mesir) di suku akhir, Nombor 4 dunia Nele Gilis (Belgium) di separuh akhir dan Nombor 2 dunia, El Hammamy di final.
“Tiga kali menewaskan pemain kelompok 10 teratas dunia di kejohanan ini, saya tidak dapat rumuskan bagaimana prestasi saya, tetapi saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Sivasangari.
Hasil kejuaraan itu, Sivasangari membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$17,598 (RM83,151).