JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari menepati ramalan ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Land Open, di Cleveland, Amerika Syarikat (AS), namun pilihan utama lelaki, Ng Eian Yow dikejutkan pemain Mexico ketika tersingkir di suku akhir.

Berita menggembirakan dari bumi Uncle Sam pastinya datang dari Sivasangari yang melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunnia ketiga musim ini, dengan mengatasi pemain England Alicia Mead sebentar tadi.

Mead yang sebelum ini mengejutkan pilihan ketujuh dari Mesir, Hana Ramadan, ternyata gagal menyaingi permainan agresif pemain wanita nombor satu negara.

S Sivasangari (kanan) tidak memberi ruang dan peluang kepada Alicia Mead (England) untuk bangkit melawan. |Pix PSA World Tour

Meskipun pada set pertama, Mead berjaya menyaingi Sangari pada mata 5-6, namun pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu berjaya menamatkan cabaran dengan kemenangan 11-6, sebelum menamatkan dua set berikutnya 11-8, 11-8 dalam pertarungan 23 minit.

“Kunci kemenangan hari ini adalah kerja keras,” kata Sangari sejurus tamat perlawanan.

Menurutnya, paling penting adalah melangkah ke peringkat seterusnya.

“Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa yang terlalu lama.

“Jadi kami mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” ujar Sangari lagi.

Ng Eain Yow (belakang) diletakkan sebagai pilihan utama Land Open lelaki, namun dikejutkan pemain Mexico, Leonel Cardenas di suku akhir. |Pix PSA World Tour

Justeru, dia bakal menanti lawan sama ada pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft, kedua-duanya dari England.

Dalam pada itu, hasrat melihat Eain Tyo mara lebih jauh tidak kesampaian apabila dikejutkan Leonel Cardenas dari Mexico, dalam pertarungan epik berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow, yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu, 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan mara ke separuh akhir dengan 11-6.