PERKARA lepas biarkan berlalu… pemain skuasy wanita nombor satu negara, S.Sivasangari mahu fokus kepada perburuan pingat emas Sukan Asia yang akan berlangsung di Hangzhou, China, September depan.
Menurutnya, meskipun kecewa dengan kegagalan merangkul kejuaraan di Kejohanan Skuasy Asia di Hong Kong, yang berakhir semalam, aksinya di kejohanan itu memberi input berguna yang boleh dimanfaatkan untuk memburu pingat emas pertamanya di Sukan Asia nanti.
“Final (Kejohanan Skuasy Asia) bukanlah keputusan terbaik yang saya mahukan, saya sepatutnya mampu melakukan lebih baik… saya tidak dapat berikan permainan terbaik saya.
“Begitupun, saya tetap gembira dalam kecewa. Kejohanan ini menjadi persiapan terbaik saya menjelang Sukan Asia,” kata Sivasangari, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika baru tiba dari Hong Kong.
Pada final Kejohanan Skuasy Asia Sabtu lalu, Sivasangari tewas kepada pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 6-11, 11-9, 9-11, 11-3, 1-11 dalam masa 40 minit.
“Hasil kejohanan ini, baik untuk saya mengetahui dan memperbaiki kelemahan, selain mengenali corak permainan lawan yang bakal dihadapi di Sukan Asia nanti.
“Sukan Asia sangat hampir, tiada masa untuk saya lakukan perubahan besar dalam permainan, namun cukup untuk memperkemas dan menajamkan aspek yang perlu, untuk memenangi pingat terutamanya pingat emas yang saya mahukan.
“Sudah lama saya sasarkan dan edisi lalu, saya hanya menang perak tapi kali ini saya betul-betul mahukannya.”
Sejak diperkenalkan pada 1998, pingat emas perseorangan wanita di temasya Sukan Asia di monopoli Malaysia menerusi Datuk Nicol David dan hanya pada tahun 2002 sahaja acara perseorangan wanita dimenangi Hong Kong iaitu Rebecca Chiu.
Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Sivasangari memenangi pingat perak selepas tewas kepada Nicol menerusi aksi lima set.
“Persaingan dahulu umpama pertembungan pemain senior dan junior, pemain seperti saya memegang status ‘underdog’ tapi kali ini berbeza kerana boleh dikatakan kami (pesaing Sukan Asia) sebaya.
“Siapa sahaja yang dipilih mewakili negara dalam acara perseorangan wanita, kita tetap menghadirkan cabaran yang kuat, tapi perlu berjaga-jaga juga dengan kehadiran pemain ranking tertinggi Asia, Satomi Watanabe serta pemain Hong Kong.
“Tahap persaingan amat tinggi dan untuk melepasi pusingan pertama juga tidak boleh dipandang mudah,” kata Sivasangari.
Di Temasya Hangzhou, lima pingat emas ditawarkan dalam acara skuasy, iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan beregu campuran.
Dengan syarat hanya dua pemain mewakili sesebuah negara dalam acara individu (perseorangan lelaki, wanita dan beregu campuran), Sivasangari lega kerana tidak perlu memikirkan terlalu ramai pemain yang bagus dari sesebuah negara.
Menurutnya, undian perlawanan akan lebih mudah dan ringkas namun: “Sudah tentu sebuah negara akan diwakili dua pemain terkuat mereka, dan ini juga tidak mudah.”
Sangari yang sudah menamatkan pengajiannya di Universiti Cornell, di New York, akan berlatih di Kuala Lumpur buat sementara sebagai persiapan ke Sukan Asia dan menunggu urusan visanya selesai.
“Saya akan kembali berlatih di Cornell selepas urusan visa selesai dan akan kekal berlatih di bawah jurulatih David Palmer,” katanya.