MENEMPUHI peristiwa hitam dalam hidup yang hampir meragut nyawa, sehinggakan hilang kepercayaan kepada diri sendiri, ratu skuasy negara, S Sivasangari sendiri tidak mempercayai mampu bangkit sehebat ini.
Lebih setahun setengah selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Maju (MEX) pada Jun 2022, dia sendiri tidak tahu hala tuju masa depan keriernya sebagai pemain skuasy.
Meskipun mengalami keretakan muka dan C1 vertebrata, semangat Sivasangari sentiasa membara, mahu pulih dari kecederaan dan hanya kira-kira sebulan berada di wad Hospital Putrajaya.
Gara-gara kemalangan itu, Sivasangari terlepas peluang meraih pingat di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, malah keyakinannya terhadap kemampuan untuk bangkit bermain skuasy turut diragui.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menduduki ranking tertinggi pernah dicapainya sebelum kemalangan, iaitu 22 dunia pada Mei 2022, namun dia berjaya bangkit dan mencapai kejayaan jauh lebih baik berbanding sebelumnya.
Semangat juang Sivasangari, 25, tidak kurang jika dibandingkan dengan semangat pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, yang terus menempa kejayaan biarpun sudah menjalani pembedahan jantung.
Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, menjadi bukti dia kembali ke landasan.
Dilatih secara peribadi oleh David Palmer di kolejnya, Universiti Cornell di Amerika Syarikat, prestasi Sivasangari turut dipantau barisan kejurulatihan kebangsaan di Bukit Jalil, sehingga gadis itu meraih dua pingat emas di Hangzhou, menerusi acara perseorangan wanita dan berpasukan wanita.
Selain Sukan Asia, Sivasangari turut menjuarai gelaran Jelajah PSA di Kelab Bola Sepak Terbuka Hong Kong.
Memulakan tirai 2024, dengan suku akhir di Terbuka Florida, jaguh neagra itu mara ke suku akhir Piala Cincinati, separuh akhir Kejohanan In The Land sebelum muncul juara di London Classic.
Menerima penajaan daripada syarikat perbankan antarabangsa, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), Mac lalu pastinya menjadi pemangkin semangat buat Sivasangari menempa kejayaan semalam.
Menjadi atlet ditaja CIMB sebaris Azizulhasni dan Datuk Nicol David, sudah tentunya banyak lagi yang mahu dibuktikannya terutamanya di Kejohanan Dunia PSA di Mesir pada 9 hingga 17 Mei hadapan.