JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari meneruskan misi menempatkan diri ke kelompok Top 10 dunia, dengan melakukan kejutan terbesar di kejohanan London Classics, menyingkir pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini.

Turun ke gelanggang suku akhir menentang juara dunia tujuh kali sebagai underdog, Sivasangari yang berada di ranking ke-16 dunia bagaikan memberi renjatan elektrik kepada lawan dari Mesir dengan kemenangan set pertama 11-9.

Sherbini, 28, yang berpuasa, cuba terus kekal bertenaga di gelanggang untuk merampas set kedua, namun ternyata bergelut untuk mengekang Sivasangari yang empat tahun lebih muda daripadanya, yang melakukan hantaran ke segenap gelanggang.

S Sivasangari mengatasi pemain nombor 1 dunia, Nour El Sherbini dari Mesir buat kali pertama. | FOTO PSA TOUR

Malah kesungguhan pemain negara mengejar bola ke setiap inci gelanggang membolehkan dia menamatkan sisa kebangkitan Sherbini dengan kemenangan set kedua, 11-9.

Kejayaan Sivasangari itu sekali gus menjadikannya pemain wanita pertama di luar ranking Top 10, menewaskan Sherbini sejak Annie Au dari Hong Kong melakukannya pada 2015.

“Saya tidak terkata kerana segala-galanya berlaku dengan pantas dan saya tidak sedar apa yang berlaku di gelanggang… saya tewaskan pemain nombor 1 dunia!

“Saya amat menghormati Sherbini dan dia adalah pemain terbaik jelajah, sangat berbakat. Untuk menewaskan pemain sepertinya, saya memberikan prestasi terbaik, A game saya hari ini.

Tidak sangka…. dalam misi menempatkan diri ke kelompok Top10 dunia, S Sivasangari berjaya menundukkan jaguh Mesir, Nour El Sherbini. | FOTO PSA TOUR

“Sepanjang perlawanan, saya hanya cuba fokus kepada corak permainan saya, tidak pedulikan apa yang dia rasakan, dalam masa sama saya mengambil kelebihan menerusi corak menyerang,” kata Sivasangari sejurus tamat perlawanan.

Pada dua pertemuan terakhir sebelum ini, Sivasangari tunduk kepada Sherbini di suku akhir kejohanan Antarabangsa El Gouna 2022, 5-11, 5-11, 3-11, manakala pada suku akhir Terbuka Florida Februari lalu, pemain negara itu tewas 8-11, 9-11, 3-11.

Kemenangan itu membawanya ke separuh akhir menentang pemain nombor empat dunia, Nelle Gillis dari Belgium.

Gillis ke separih akhir selepas bangkit dari kekalahan sebelum mengatasi pemain England, Georgina Kennedy 2-1 (6-11, 11-6, 11-3).