JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari terus mempamerkan kemajuan prestasi, apabila mengejutkan pemain ranking ke-18 dunia dari Mesir, Amina Orfi untuk merangkul gelaran kedua tahun ini, di Terbuka Hong Kong, semalam.
Sivasangari yang melonjak ke ranking ke-22 dunia selepas mengejutkan pemain nombor enam dunia dari Mesir, Nour El Tayeb di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu, terus melakukan kejutan ke atas pemain ranking lebih tinggi.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya merasakan sepanjang minggu ini saya bermain dengan sangat baik kecuali di pusingan pertama yang mana saya berasa sedikit gementar.
“Namun, selepas mara ke pusingan seterusnya, permainan saya bertambah baik termasuklah dalam perlawanan hari ini.
“Kemenangan ini amat bermakna apatah lagi menang dengan keputusan 3-0, menentang pemain yang sangat berbakat,” kata Sivasangari kepada Persekutuan Skuasy Profesional (PSA) selepas tamat aksi final.
Aksi kelas dunia dipamerkan Sivasangari ketika menjuarai saingan Terbuka Hong Kong, dengan menewaskan Amina Orfi 11-9, 11-8, 11-5 hanya dalam tempoh 38 minit.
Kemenangan itu bermakna, Sivasangari, 24, berjaya membalas dendam ke atas kekalahannya pada pertemuan pertama di Squash On Fire di Amerika Syarikat (AS) selepas Sukan Asia Hangzhou.
Ketika itu, pemain negara itu tewas kepada Amina Orfi, yang berusia 16 tahun dengan kekalahan 10-12, 5-11, 3-11.
Lebih manis buat Sivasangari di Hong Kong, kerana dia berjaya membalas dendam kekalahan di suku akhir Terbuka Singapura apabila menjinakkan pilihan kedua dari England, Sarah Jane Perry (12 dunia) di separuh akhir dengan kemenangan 3-0(11-8, 11-9, 11-6).
Di suku akhir, Sivasangari menewaskan pilihan ketiga kejohanan yang juga pemain nombor 15 dunia dari AS, Sabrina Sobhy 11-6, 11-8, 7-11, 11-7.
Untuk rekod, ini adalah gelaran kedua Sivasangari dalam Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional) selepas menjuarai Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos lalu.
Sivasangari jelas pada tahap terbaiknya musim ini apabila dia turut menyumbangkan pingat emas dalam acara perseorangan di Sukan Asia Hangzhou, September lalu.
Dia juga membantu pasukan wanita memenangi emas dalam acara berpasukan di Hangzhou.
“Saya bangga dengan pencapaian saya setakat ini. Prestasi saya menunjukkan perkembangan yang saya positif dan berharap dapat mengekalkan momentum ini.
“Saya akan bekerja keras dan menikmati sukan yang saya sayangi ini,” katanya.
Pencapaian dilakar Sivasangari ketika ini dilihat hadir tepat pada masanya ketika Malaysia dalam usaha untuk membuat persiapan bagi menyusun program menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Sementara itu, hasrat melihat Ng Eain Yow membantu negara meraih gelaran berganda tidak kesampaian apabila tewas kepada Aly Abou Eleinen dari Mesir, 5-11, 11-5, 7-11, 7-11.