PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari menepati ramalan melangkah ke suku akhir London Classics, selepas mengatasi pemain tuan rumah, Katie Maliff straight set di pusingan kedua.
Diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan, Sivasangari menyingkir pemain England itu 11-6, 11-7, sekali gus membalas dendam atas kekalahannya kepada Katie pada Terbuka Richmond tahun lalu.
“Gelanggang kaca ini sangat cantik, saya suka ungu dan saya rasa warnanya sangat bagus!,” kata Sivasangari, memberitahu betapa selesanya dia beraksi di kejohanan terbabit, dan gembira atas kemenangan.
Menurutnya, kemenangan diraih ke atas pemain lawan hasil pelaksanaan yang baik: “Saya hadir ke perlawanan ini dengan rancangan permainan yang baik dan melaksanakannya dengan baik. Katie adalah pemain yang sangat bagus dan saya tewas kepadanya kali terakhir kami bertemu, saya tidak mahu memikirkan tentang itu dan saya gembira dapat melaluinya.
“Kehadiran penyokong agak menakutkan dan inilah akan berlaku apabila anda menentang pemain tempatan. Seronok melihat ramai orang di sini. Ia adalah tempat yang hebat dan gelanggang yang bagus dan saya sangat gembira berada di sini.”
Sivasangari mengakui, format tiga set terbaik sememangnya memberi kesukaran kepada pemain dan dia berjaya fokus hasil pertolongan jurulatih mentalnya, Jesse Engelbrecht.
Kemenangan itu membolehkan Sivasangari menempah pertemuan suku akhir dengan pilihan utama kejohanan dari Mesir, Nour Elsherbini, yang mengatasi pemain Walses, Tesni Murphy 11-5, 6-11, 11-6.
Berdasarkan dua pertemuan lalu, pemain nombor satu dunia dari Mesir itu mengungguli 100 peratus kemenangan di Kejohanan Antarabangsa El Gouna 2022 dan Terbuka Florida awal tahun ini.