EDISI ke-16 Skate Malaysia dan siri ke-3 kejohanan Ice Skating Institute Asia (ISIAsia) kembali lagi diadakan di Sunway Pyramid Ice dari 26 hingga 30 Jun 2024.
Kejohanan ini telah mengumpulkan 600 pemain luncur ais dari 25 gelanggang ais di seluruh dunia, bilangan terbesar peserta yang menyertai acara dalam sejarah Skate Malaysia.
Antara negara yang terlibat dalam kejohanan ini ialah Malaysia, Indonesia, China, Amerika Syarikat, Thailand, Kuwait, Qatar dan Filipina.
Dalam majlis pembukaan yang diadakan semalam, Pengurus Kanan Sunway Pyramid, Jason Chin berkata bahawa kejohanan Skate Malaysia telah menjadi kejohanan yang lebih baik dan ia membuka mata lebih ramai pemain luncur ais untuk bersaing dalam masa beberapa tahun ini.
“Ini adalah kali ke-16 kami menganjurkan Skate Malaysia dan persaingan sentiasa menjadi lebih baik.
“Ia sememangnya satu penghormatan kerana kami adalah gelanggang ais paling lama berkhidmat di Malaysia dan perintis luncur ais sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan dan sukan yang kompetitif.
“Sejak edisi pertama kami, kami telah semakin bertambah bilangan kami dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai platform yang berpengaruh untuk mempromosikan dan membangunkan sukan musim sejuk,” katanya ketika majlis pembukaan itu.
Pertandingan luncur ais tahunan yang dianjurkan oleh Sunway Pyramid Ice disokong oleh Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), dengan kedua-duanya telah berganding bahu sejak akhir 90-an untuk menggalakkan peminat dan atlet di Asia untuk mengambil sukan luncur ais sebagai sukan yang kompetitif.