AKSI Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Urawa Red Diamonds di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC sedikit sepi apabila bakal beraksi tanpa sokongan padu penyokong sendiri.
Ini berikut beberapa kekangan perjalanan akibat pandemik Covid-19 yang menyukarkan para penyokong untuk turut bersama-sama pasukan ke Jepun memberikan sokongan.
Tindakan Jepun yang masih belum membuka sempadan negara mereka kepada pelawat asing menambahkan lagi kesukaran penyokong termasuk Boys of Straits yang juga tidak akan berada di belakang Harimau Selatan.
Namun itu bukanlah alasan buat para penyokong untuk tidak memberikan sokongan padu kepada Harimau Selatan apabila pelbagai inisiatif diambil oleh pihak berwajib bagi menambah kehangatan perlawanan ini.
Acara tontonan beramai-ramai menerusi skrin gergasi akan diadakan di kesemua daerah seluruh negeri Johor dengan inisiatif yang diambil pihak berkuasa tempatan mahupun parti politik dan juga kelab peminat.
Di Johor Bahru, acara ini akan diadakan di Dataran Bandaraya dengan pelbagai kemudahan seperti surau dan gerai makanan disediakan bagi memastikan setiap pengunjung berasa selesa bersama keluarga mahupun teman-teman.
Tidak hanya di Johor Bahru tetapi ianya juga di daerah yang lain dan juga oleh kelab-kelab penyokong yang menyewa ‘coffee house‘ di hotel-hotel ataupun restoran untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini.
Malah di Lembah Klang, Kelab Penyokong Bolasepak Johor Lembah Klang (KPBJLK) juga mengadakan perhimpunan bersama ahli kelab di sebuah hotel untuk menonton perlawanan ini beramai-ramai.
Sambutan beramai-ramai ini bukanlah perkara baharu buat penyokong JDT apabila setiap tahun, upacara sambutan kemenangan Liga Super turut diadakan secara besar-besaran sebagai tanda penghargaan kepada penyokong.