IMPIAN skuad hoki lelaki negara gagal mendapatkan slot benua untuk ke Olimpik Paris, apabila dihempap Tembok Besar China, selepas sekadar seri 4-4 dengan China pada perlawanan terakhir kumpulan B, Sukan Asia ke-19, Hangzhou.

Pada aksi di Stadium Hoki Gongshu Canal Sports Park itu, menyaksikan, penyokong tuan rumah bagai berpesta sebaik wisel penamat dibunyikan, selepas China muncul juara kumpulan dengan 13 mata, sekali gus menafikan tempat separuh akhir buat Malaysian Tigers.

Perlawanan penuh dramatik itu, menyaksikan China muncul juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas meraih 13 mata untuk bertemu juara bertahan Jepun pada separuh akhir pada Rabu.

Malaysia yang berada di kedudukan ketiga dengan 10 mata, di belakang Korea Selatan (12 mata), terpaksa beraksi di perlawanan klasifikasi 5-6 menentang Pakistan pada Jumaat ini.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-10 dunia, memulakan kempen dengan baik apabila membelasah Thailand 9-0, Oman 11-1 dan Indonesia 9-2, namun slot ke separuh akhir menjadi tanda tanya selepas tewas tipis 4-3 kepada Korea Selatan, dua hari lepas.

Turun dengan misi wajib menang pada aksi hidup mati itu, Malaysia memulakan serangan sebaik wisel permulaan, namun China yang terlebih dahulu membuka tirai pada minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti Gao Jiesheng.

Skuad kendalian A Arulselvaraj berjaya mempedayakan pertahanan China untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-18.

Pasukan di ranking ke-22 dunia, China tidak mengambil masa lama untuk kembali mendahului menerusi pukulan sudut penalti Chen Qijun seminit kemudian, sebelum jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-25 mengikat kedudukan.

Pada suku ketiga, skuad bimbingan Arul mendahului buat kali pertama menerusi Amirul Hamizan Azahar melengkapkan pukulan sudut penalti pada minit ke-35, tetapi China segera menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Pan Dongquan selang seminit kemudian.

Faiz Helmi Jali kembali meletakkan skuad negara di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-40, namun China sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan menerusi serangan Zhu Weijiang, hanya tiga minit kemudian.

Skuad Speedy Tigers mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti 40 saat sebelum wisel penamat, namun peluang itu disia-siakan menyaksikan keputusan terikat 4-4.

“Kemahuan untuk menang tetap ada tapi kesilapan ketara adalah daripada long ball, setiap kali mereka masuk D, mereka dapat sesuatu.

“Di kejohanan ini juga, nampak pertahanan kita agak merisaukan, kita lebih kuat dalam permainan hokit tapi mereka lebih kuat secara fizikal, malah kita tidak manage long ball situation,” kata Arul.