SKUAD B-14 Tahun Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima durian runtuh apabila dikurniakan bonus dan ucapan tahniah oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kejayaan muncul juara Laliga Youth Tournament pada bulan lalu.
Akademi JDT B-14 Tahun itu muncul juara apabila menewaskan pasukan akademi Sungmenchanupatham dari Thailand 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Kopa Arena, Pulau Pinang.
Selain muncul juara, pemain JDT, Izham Aiman dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan itu dan menerima ganjaran lawatan ke Sepanyol sambil menjalani latihan bersama akademi yang tersohor di sana.
Majlis pemberian bonus itu disampaikan oleh Alistair Edwards, Pengarah Teknikal JDT yang mewakili Tunku Ismail dan kelab itu di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri. Hadir sama di majis itu adalah Ketua Jurulatih baharu JDT, Hector Bidoglio dan Pengarah Sukan, Martin Prest
Kejayaan ini adalah kejayaan ketiga untuk Akademi JDT pada 2022 selepas kemenangan dalam Milo Challenger Cup (B-14) dan Yakult Aidil Zaquan Cup (B-13). Tambah menarik, Akademi JDT telah memenangi 13 kejuaraan domestik dan trofi antarabangsa sejak 2018.
Akademi JDT juga adalah akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program bola sepak akar umbi.