PENGENDALI skuad B-16 tahun kebangsaan, Javier Jorda Ribera mengakui dia sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemainnya ketika Kejuaraan Asean B-16 2024 di Surakarta.
Meskipun tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas tewas dua kali kepada Australia dan Thailand, Javier menegaskan kini mereka sudah tahu apa yang diperlukan oleh pasukan ini kerana ini adalah kali pertama pemain-pemain ini bermain bersama di peringkat antarabangsa.
Pengendali asal Sepanyol itu juga gembira kerana diundi dalam kumpulan maut kerana pemainnya mendapat satu pengalaman yang berkesan menjelang kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2025 pada Oktober nanti.
“Apa yang penting objektif kami untuk bersaing dalam tiga perlawanan dapat dilaksanakan dan banyak perkara boleh diperbaiki dari sudut permainan dan taktikal. Kami bermain dengan baik sepanjang tiga perlawanan terutama bersaing baik ketika menentang Australia dan Thailand walaupun mempunyai masa tiga bulan sahaja sebagai persiapan.
“Saya sangat positif dengan pasukan ini kerana ini adalah kejohanan antarabangsa pertama yang mereka sertai dan berjaya mendapat lawan yang kompetitif sekali gus memberikan mereka gambaran sebenar intensiti perlawanan di peringkat antarabangsa.
“Kami ke sini untuk bertanding dan para pemain menunjukkan sikap yang baik sepanjang kempen dan penuh berdisiplin dengan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan pada perlawanan pertama. Meskipun tewas dengan Australia dan Thailand tetapi mereka berikan aksi terbaik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Surakarta.
Skuad muda negara sering dibolosi pada minit-minit terakhir perlawanan dan Javier sedar akan masalah ini dan perlu diberikan perhatian menjelang aksi kelayakan di Vientiane nanti.
“Pemain tidak mempunyai masalah dalam kecergasan dan fizikal tetapi ada sedikit kesilapan dan kurang fokus menyebabkan kami dibolosi pada minit-minit terakhir dan kami akan perbaiki masalah ini untuk kempen kelayakan nanti,” jelasnya.
Malaysia mengakhiri kempen dengan satu kemenangan dan dua kekalahan serta berjaya menjaringkan enam gol dari tiga perlawanan untuk menduduki tempat ketiga Kumpulan C dengan tiga mata namun gagal layak ke separuh akhir.