IMPIAN skuad B-17 Kebangsaan untuk layak ke separuh akhir Piala Asia AFC B-17 seterusnya ke Piala Dunia FIFA B-17 masih samar selepas skuad muda negara sekali lagi tewas dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium UiTM, Shah Alam pada Jumaat.
Selepas tewas kepada Uzbekistan 2-3 pada Selasa, skuad kendalian Osmera Omaro perlu melakukan lebih banyak kerja rumah selepas tewas 1-4 pula kepada Arab Saudi yang mencetuskan kegusaran mengenai kemampuan skuad ini di Piala Asia B-17 yang bermula minggu hadapan.
Meskipun perlawanan ini boleh dikatakan sebagai medan ujian sebelum ke Bangkok, namun banyak perkara lagi yang perlu dilakukan skuad ini jika mahu memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan.
Arab Saudi terlebih dahulu menjaringkan gol seawal minit ketujuh perlawanan menerusi Nawaf Nasser yang mudah menjaringkan gol selepas barisan pertahanan negara mudah ditembusi di bahagian kiri.
Tersentak dengan gol itu, kkuad negara cuba mengatur serangan ke kubu lawan dan gol penyamaan hadir pada minit terakhir separuh masa pertama melalui Dainei Mat Disa yang mengambil kesempatan kesilapan penjaga gol lawan untuk kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.
Tidak sampai seminit bersambung babak kedua, gawang negara bocor lagi sekali lagi menerusi Nawaf Nasser yang mengambil kesempatan kealpaan barisan pertahanan yang melakukan kesilapan akibat daripada kekurangan fokus.
Kesilapan-kesilapan individu terus menjadi masalah buat Malaysia apabila Talal Abubakr dan Amar Alyuhaybi masing-masing bijak menghukum kesilapan skuad kebangsaan untuk gol ketiga dan keempat sekali gus memberikan kemenangan 1-4 kepada pasukan pelawat untuk kekalahan kedua buat skuad negara.
Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan A di Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok bersama tuan rumah Thailand, selain Yaman dan Laos bagi kejohanan peringkat benua itu dengan pasukan yang berada di kelompok empat terbaik bakal memperoleh slot untuk beraksi di Piala Dunia B-17 2023.