PASUKAN Bawah 17 Tahun Kebangsaan selesai menjalani kem latihan intensif selama dua minggu di Doha, Qatar dengan cemerlang apabila merekodkan lima kemenangan dan hanya tewas sekali dalam enam perlawanan persahabatan.
Skuad muda kebangsaan itu juga garang di hadapan gawang apabila berjaya menjaringkan 21 gol dan hanya bolos 4 kali meskipun menempuh cabaran berlatih dan beraksi dalam bulan Ramadan.
Pengurus pasukan, Christopher Raj berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan semua pemain dan barisan kejurulatihan serta berharap mereka dapat memperolehi pengalaman untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia B17 yang akan berlangsung di Thailand pada Jun 2023.
“Sebagai pengurus pasukan, saya sangat berbangga dengan prestasi, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain yang dipanggil serta barisan kejurulatihan sepanjang dua minggu di Doha, Qatar.
“Saya berharap para pemain mendapat pengalaman yang bernilai untuk dibawa pulang ke tanah air sekaligus menambahbaik aspek permainan di dalam dan luar padang,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang terus menerus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemain muda negara sepanjang mereka berada di Qatar dan berpeluang menyambut Aidilfitri yang dirayakan pada Jumaat.
Keputusan Perlawanan Persahabatan Skuad B-17 Kebangsaan:
Malaysia B-17 4-2 Al Arabia SC B17
Malaysia B-17 5-0 Umm Salal SC B17
Malaysia B-17 4-1 Al Ghrafa SC B18
Malaysia B-17 7-0 Al Markhiyah SC B17
Malaysia B-17 1-0 Al Duhail SC B19
Malaysia B-17 0-1 Akademi Aspire U17