PELANTIKAN baharu dibuat dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan mengambil khidmat daripada Pengarah Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Javier Jorda Ribera untuk menjadi jurulatih pasukan Bawah 17 (B-17) tahun negara.
Perkara ini telah disahkan sendiri menerusi pengumuman yang dibuat oleh pihak badan induk bola sepak negara, FAM di laman rasmi Instagram mereka pada Jumaat.
Seramai 32 orang pemain Harimau Malaya B-17 juga telah dibawa untuk menjalani sesi latihan pusat selama lima hari bermula 3 Mei sehingga 7 Mei di Pasir Gudang, Johor, sekali gus menjadikan waktu yang tepat untuk Ribera mengasah lagi bakat mereka.
“Javier yang juga Pengarah Akademi Bolasepak Johor Darul Ta’zim telah dipilih untuk membimbing skuad ini ke Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 di Jakarta, Indonesia, 17 hingga 29 Jun 2024 dan Kelayakan Piala Asia B-17 2025, 19 hingga 29 Oktober 2024.
“Seramai 32 pemain telah dipanggil ke kem latihan pusat kali ini bagi sesi pemilihan dan persiapan menjelang kedua-dua tugasan tersebut.
“Skuad Harimau Malaya B-17 kendalian Javier Jorda Ribera juga telah memulakan kem latihan pusat selama lima hari di Pasir Gudang, Johor, hari ini sehingga Selasa, 7 Mei 2024,”menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak FAM.
Sementara itu, FAM turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bola Sepak JDT kerana telah menyediakan fasiliti terbaik untuk kegunaan pasukan sepanjang menjalani latihan pusat di Johor.
Pastinya sentuhan daripada Ribera ke dalam skuad Harimau Malaya B17 menjadi perkara yang ditagih oleh peminat-peminat bola sepak negara.
Beliau pernah melakar satu kejayaan dengan membawa pasukan JDT III muncul sebagai juara Piala Presiden edisi 2022.