SKUAD Bawah 19 Tahun negara sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Piala AFF B-19 pada 5-12 Julai ini di Indonesia.

Apa yang menariknya, kejohanan ini dianggap sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B20 yang akan berlangsung September ini di Mongolia.

Kesemua 26 pemain yang terpilih mula menjalani kem latihan pusat selama lima hari sebelum berangkat ke Jakarta, Indonesia pada 30 Jun nanti.

Ketua Jurulatih, Hassan Sazali Waras memberitahu dia akan membuat pemilihan 23 pemain untuk senarai akhir selepas mengadakan perlawanan persahabatan dengan UiTM FC dan mensasarkan skuadnya untuk pergi sejauh yang mampu dicapai.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Kemboja, Laos, Singapura dan Timor Leste dan Hassan mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan dan tidak mengambil sikap sambil lewa ketika beraksi.

“Kami akan gunakan kejohanan AFF ini sebagai pemangkin sebelum menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B20 Tahun di Mongolia September nanti. Ianya akan memberikan kami perlawanan kompetitif dan saya mensasarkan anak-anak buah saya untuk pergi sejauh yang mereka mampu capai.

“Dari 26 pemain yang melapor diri, saya akan memilih 23 pemain sahaja untuk senarai akhir dan ini akan dilakukan selepas sesi latihan selama lima hari dan juga selepas perlawanan persahabatan menentang UiTM FC pada 28 Jun nanti.

“Singapura adalah pencabar terdekat dalam kumpulan ini. Meskipun kita berjaya menumpaskan mereka ketika siri perlawanan persahabatan di Singapura dan Johor ianya bukan ukuran sebenar kemampuan mereka dan pastinya Singapura akan mempersiapkan pasukan dengan lebih rapi.

“Saya juga mengingatkan kepada pemain walaupun kita diundi dalam kumpulan tanpa gergasi Asean, namun kita harus berhati-hati dan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa kerana ianya boleh mendatangkan masalah kepada pasukan terutama apabila berdepan pasukan Laos dan Timor Leste.

Ini kerana kedua-dua pasukan ini menunjukkan peningkatan dari segi persembahan mereka terutama dalam kategori peringkat remaja dan belia, katanya dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Malaysia dijadualkan bertemu Kemboja pada 5 Julai sebelum berhadapan Singapura pada 7 Julai dan Timor Leste pada 9 Julai di Stadium Madya Senayan sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Laos pada 11 Julai di Stadium Patriot Candrabhaga.