SKUAD Bawah 23 (B-23) tahun negara hanya diberikan cuti sehari sebelum kembali menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun nanti.
Ketua jurulatih, Brad Maloney berkata beliau akan memberikan para pemain cuti sehari sebelum dikehendaki melaporkan diri pada sesi latihan Rabu nanti. Beliau juga dijangka akan mengekalkan barisan yang sama untuk dibawa ke Uzbekistan.
“Para pemain telah memberikan seratus peratus sepanjang kami berada di Hanoi dan tumpuan kini akan diarahkan kepada kejohanan yang lebih penting di Uzbekistan nanti.
“Saya akan memberikan mereka cuti rehat sehari sebelum kembali menjalani latihan pada Rabu ini sebelum dijadualkan berlepas ke Uzbekistan pada Jumaat nanti.
“Barisan pemain telah melakukan yang terbaik tetapi nyata tuah tidak memihak kepada kami apabila gagal menyumbangkan sebarang pingat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Hanoi.
Untuk rekod, skuad B-23 gagal menyumbangkan sebarang pingat buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam selepas tewas pada penentuan pingat gangsa kepada Indonesia menerusi sepakan penalti 4-3 selepas kedua -dua pasukan mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam tempoh 90 minit masa perlawanan.
Pada kempen Piala AFC B-23 nanti, skuad negara akan menentang juara bertahan, Korea Selatan selain dua seteru Asia Tenggara iaitu Vietnam dan juga Thailand selepas diundi dalam Kumpulan C yang akan bermula pada 2 hingga 8 Jun depan.