DUA medan perang, satu harimau
Itulah yang dapat simpulkan betapa jiwa dan semangat penyokong-penyokong akan bersatu memberikan sokongan teguh kepada kedua-dua pasukan kebangsaan Malaysia beraksi petang ini.
Bermula dengan pertemuan Harimau Malaya menentang Syria dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium East-Town Football Park, Chengdu China pada pukul 5 petang.
Disusuli pula setengah jam kemudian perlawanan pertama Kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 2024 membabitkan skuad B-23 bertemu Bangladesh di Stadium Chonburi Thailand.
Atas kertas, skuad kendalian E Elavarasan memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam misi besar bagi mendapatkan tiket merit untuk melayakkan diri ke Piala Asia B-23 tahun depan berbanding pasukan bimbingan Kim Pan Gon yang dilihat tumpuan ke arah persiapan bagi menghadapi Piala Asia 2024 Qatar.
Namun di kaca mata penyokong-penyokong, kemenangan sangat dituntut selain mengharapkan mereka akan disajikan dengan dua perlawanan proaktif dan berkualiti tinggi, sesuai dengan kemampuan pasukan kebangsaan kita buat masa ini.
Peminat-peminat sekarang semakin celik ilmu dan bukannya semata mahu mencari khilaf pasukan kesayangan mereka sahaja.
Inilah getaran atau ‘vibe’ pasukan kebangsaan sekarang, tidak kira pasukan itu Harimau Malaya, skuad B-23 atau Malayan Tigers sekali pun, nama Malaysia harus dijaga sebaik mereka turun di atas padang.
Kita berharap pemain-pemain tidak melihat sokongan penyokong menjadi unsur tekanan tetapi harus dilihat daripada aspek positif yang sepatutnya dijadikan pemangkin semangat untuk beraksi dengan lebih positif.
Sudah lumrah menang disanjung, kalah dicerca tetapi kelompok penyokong seperti itu semakin terhakis di mana peminat-peminat sekarang sudah bijak membaca permainan moden sekarang apatah lagi berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pasukan kebangsaan khususnya skuad kendalian Pan Gon.
Justeru, kita semua berharap dua perlawanan petang esok ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua pengendali negara kita kerana apa yang kita harapkan adalah karakter dinamik pasukan kebangsaan.
Buang rasa terlalu hormat kepada pasukan lawan kerana penyokong-penyokong percaya kita juga tidak kurang hebatnya sebaik turun beraksi di atas padang.
Sekarang sudah masanya berikan keyakinan dan kepercayaan kepada kami di mana akan banyak siri-siri kejayaan mampu dicapai oleh pasukan kebangsaan kita di masa akan datang.
Akhir kata, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan dan tunjukkan watak sebenar Harimau Malaya.