SKUAD badminton dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berlepas dari Lille ke Paris, hari ini, bersama keyakinan tinggi dan fokus menghadapi cabaran Sukan Olimpik Paris yang akan mebuka tirainya pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
Chef de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tiga beregu negara sudah bersedia dan paling penting, mereka bebas dari kecederaan.
“Melihat persiapan pemain badminton dalam tiga hari latihan, saya gembira kerana mereka kini bersedia dan bebas kecederaan.
“Saya melihat mereka berlatih dan beberapa kali berbincang dengan jurulatih, Rexy (Mainaky) dan beberapa jurulatih lain serta pemain sendiri.
“Pemain bersedia memberikan semaksimum mungkin dan persembahkan prestasi terbaik di Olimpik Paris.
“Daripada latihan dan jiwa… mereka tidak sabar untuk mempamerkan aksi terbaik buat Malaysia,” kata Hamidin, yang berada di Lille.
Menurutnya, perancangan dibuat BAM dengan menjalani latihan di lokasi terpencil di Lille sebelum ke perkampungan sukan, adalah idea yang baik untuk memastikan bonding pemain dan jurulatih lebih kuat dan saling percaya.
“Hanya pesanan terakhir saya yang saya sampaikan adalah, sememangnya kita mahukan pingat emas, tetapi biarlah pemain badminton fokus untuk melayakkan diri ke suku akhir dahulu.
“Jika fokus ke separuh akhir terus akan membebankan atlet kita, jadi dari suku akhir nanti baru mula fokus kepada separuh akhir dan akhir,” ujar Hamidin lagi.
Untuk rekod, tiga pasang beregu dari BAM, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) selain perseorangan lelaki dan wanita profesional, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei, menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Acara badminton akan memulakan saingannya pada 27 Julai hingga 5 Ogos di Porte de La Chapelle Arena di Paris.
Malaysia hanya membawa pulang satu gangsa menerusi badminton pada Olimpik Tokyo selepas Aaron-Wooi Yik menewaskakn gandingan berpengalaman Indonesia, Hendra Setiawan-Muhammad Ahsan pada penentuan tempat ketiga.
Manakala prestasi terbaik kem badminton adalah pada edisi 2016 di Rio, apabila memenangi tiga pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.