SKUAD Baseball5 Malaysia, sukan disiplin baharu dari sukan Baseball-Softball yang baru diperkenalkan berjaya melepasi peringkat kumpulan dan layak ke pusingan Super Round pada Khamis.

Dua pasukan di tangga teratas setiap kumpulan layak ke peringkat Super Round ini sekaligus semakin mendekatkan pasukan untuk layak ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico pada November 2022.

Skuad kebangsaan memulakan saingan dengan kekalahan kepada Korea Selatan dengan 2-0 sebelum bangkit menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi yang cukup dramatik.

Namun laluan Malaysia ke peringkat Super Round hampir tidak menjadi kenyataan apabila Korea Selatan nyaris dikejutkan Thailand sebelum menang untuk membawa Malaysia bersama layak.

Kejayaan ke pusingan seterusnya dalam kejohanan sulung ini nyata menggembirakan Ketua Jurulatih negara Cheong Ho Yeen yang mahu anak-anak buahnya meneruskan rentak cemerlang di pusingan Super Round bagi menepati sasaran menduduki tiga tempat teratas.

“Para pemain bermain sangat bagus hari ini namun masih banyak perkara yang perlu kami pelajari kerana ini adalah sukan baharu namun kami berjaya untuk layak ke pusingan Super Round.

“Kami akan pastikan untuk bermain mati-matian pada semua perlawanan esok kerana kami masih percaya dapat menepati sasaran muncul tiga pasukan terbaik dari kejohanan ini untuk layak ke Mexico hujung tahun ini,” katanya selepas perlawanan kepada Flash Sukan.

Elsa Chew

Nada yang sama turut dikongsi oleh ketua pasukan, Elsa Chew yang menyatakan mereka perlu lebih bertenang dan mengawal rasa gemuruh untuk perlawanan esok dan meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia sebagai tiga pasukan terbaik.

“Kami hanya perlu bermain permainan kami seperti biasa dan perlu mengurangkan kesilapan serta rasa gemuruh untuk perlawanan esok bagi memastikan kami berjaya mendapat tiga tempat terbaik untuk layak ke Piala Dunia,” kata Elsa yang juga pemain softball kebangsaan.

Aksi skuad negara ketika peringkat kumpulan

Ditanya apakah perbezaan antara disiplin baharu ini dengan softball, Elsa menyatakan ianya lebih pantas dan lebih kepada perkara asas dalam softball tanpa menggunakan kayu dan sarung tangan dan ianya lebih mengujakan buat pemain.

Esok Malaysia akan menentang Chinese Taipei, Jepun, Hong Kong dan Singapura dalam peringkat Super Round secara round robin untuk menentukan empat pasukan terbaik yang akan layak ke separuh akhir pada Jumaat.

Tiga pasukan teratas akan layak ke Piala Dunia menyertai Mexico sebagai tuan rumah serta Afrika Selatan, Kenya, Perancis dan Lithuania yang telah layak menerusi kelayakan peringkat benua masing-masing.