LATIHAN luar dewan menjadi pilihan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley dan Australia dipilih sebagai pangkalan latihan, untuk persiapan skuad trek ke Olimpik Paris.
Pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom berkata, tujuan Beasley memilih ‘berkampung’ di Australia itu juga untuk melakukan persiapan menghadapi baki kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 tahun hadapan.
“John mahu suasana latihan yang berbeza dan sedang mencari tempat sesuai kerana tahun depan amat penting.
“Setakat ini kami masih berlatih di Malaysia dan mungkin tahun depan akan berlatih di sana (Australia) kerana mahukan kelainan dan di luar dewan.
“Banyak tempat yang bagus tapi ada macam-macam suasana kalau berlatih di luar, jadi masih buat pemilihan,” katanya.
Menurut pemenang dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou, September lalu itu, berdasarkan kedudukan ranking semasa, dia dan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang boleh dianggap sudah layak beraksi di Paris.
“Cuma apabila kempen kelayakan masih lagi berlangsung, kami tidak boleh sahkan sudah layak (ke Olimpik Paris),” katanya yang baru-baru ini menerima Hadiah Skim Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM40,000 susulan kejayaan membawa pulang dua gangsa dari Hangzhou, China.